in

Sunway Ipoh Mall Capai Kadar Sewaan 80% Menjelang Pembukaannya Pada 2027

Collage 1

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Menjelang pembukaannya pada suku keempat 2027, Sunway Ipoh Mall telah mencapai kadar sewaan sebanyak 80%, sekali gus mencerminkan minat kukuh terhadap ruang runcit Tahap 1 (Tier 1) berkualiti dalam pasaran Perak yang masih kurang diterokai.

Pembangunan bernilai RM1 bilion ini merangkumi kawasan sewaan bersih (NLA) seluas 1.2 juta kaki persegi dengan empat tingkat ruang peruncitan dan 400 lot kedai, termasuk 100 jenama yang bakal membuat penampilan sulung di Perak.


Artists Impression Of Sunway Ipoh Mall At Dusk

Sunway Malls mengumumkan 25 jenama bakal menyertai Sunway Ipoh Mall, termasuk 7 penyewa utama serta 9 jenama yang akan membuat penampilan sulung di Perak, sekali gus memperluas lagi pilihan aktiviti riadah dan gaya hidup untuk penduduk negeri ini.

Sunway Ipoh Mall Is 80 Leased And Unveils 25 Brands Of Which Nine Will Enter Perak Market For The First Time

Barisan jenama tersebut merangkumi MUJI, LC Waikiki, TopTen10, Brands Outlet, Decathlon, Estée Lauder Companies, Harvey Norman, HOOGA, JD Sports, L’Oréal Group, MAP Active, Neonest, Padini, Panda Eyes, Popular, The Parenthood, Valiram Group dan UNIQLO, yang bakal membuka cawangan terbesarnya di Perak di Sunway Ipoh Mall.

Penyewa utama yang telah diumumkan termasuk Parkson Elite, Village Grocer, TGV Cinemas, Mr. D.I.Y. Plus, Sunway Ice Rink, Sunway Ipoh Exhibition Centre dan Sunway Megalanes.

“Komitmen sewaan sebanyak 80% sebelum pembukaan mencerminkan permintaan tinggi yang kami saksikan terhadap ruang runcit berkualiti di Ipoh.”

“Walaupun Perak mempunyai asas pengguna dan sektor pelancongan yang kukuh, masih terdapat ruang yang besar untuk sebuah destinasi runcit berskala besar yang menawarkan gabungan jenama, pilihan makanan, riadah serta pengalaman yang tepat.”

“Sunway Ipoh Mall membolehkan kami memanfaatkan peluang ini sambil memberi rakan niaga kami akses kepada pasaran yang masih kurang diterokai,” – kata Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Malls, HC Chan.

Hc Chan Group Managing Director Of Sunway Malls Announces 5 Y O Y Growth In 1H2026 Compared To Industry 3.1

Sunway Malls memasuki fasa pengembangan seterusnya dengan kedudukan operasi yang kukuh, sambil mengekalkan kadar penghunian portfolio 11 pusat membeli-belah sebanyak 98% berbanding purata kebangsaan sebanyak 79%. Pada separuh pertama 2026, kumpulan pusat beli-belah ini merekodkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun sebanyak 5%, mengatasi pertumbuhan industry sebanyak 3.1%

“Ipoh menawarkan peluang yang amat menarik untuk kami, disokong oleh asas pengguna tempatan yang matang, ekonomi pelancongan yang kukuh serta pembangunan berterusan Sunway City Ipoh.”

“Sunway Ipoh Mall terletak di tengah-tengah bandar bersepadu ini, menghimpunkan pengalaman runcit, makanan dan minuman, hiburan serta komuniti, bersama elemen hospitaliti, pelancongan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.”

“Komitmen kukuh daripada rakan runcit kami mengukuhkan keyakinan kami terhadap potensi pusat beli-belah ini untuk memacu pertumbuhan baharu bagi Ipoh dan seluruh wilayah Utara,” – kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls Wilayah Utara, Chai Wen Yew.

Sunway Ipoh Mall Will Anchor The Next Growth Phase Of Sunway City Ipoh As Shared By Chai Wen Yew Ceo Of Sunway Malls Northern Region

Secara kolektif, Sunway Carnival Mall di Pulau Pinang dan Sunway Ipoh Mall yang bakal dibuka menyumbang 22% daripada portfolio Sunway Malls, sekali gus mengukuhkan kehadiran kumpulan itu di seluruh Malaysia Utara. Sunway Ipoh Mall memperluas lagi kehadiran tersebut ke Perak, di samping mewujudkan platform baharu untuk peruncit yang mencari ruang runcit Tahap 1 berkualiti di rantau ini.

Sunway Ipoh Mall merupakan sebahagian penting daripada pembangunan bandar bersepadu Sunway City Ipoh seluas 1,350 ekar, yang menggabungkan komponen pelancongan, hospitaliti, penjagaan kesihatan, pendidikan, kediaman dan komersial.

Artists Impression Of Sunway Ipoh Mall At Dawn

Antara pembangunan sedia ada ialah Lost World of Tambun Theme Park, The Banjaran Hotsprings Retreat, Sunway Medical Centre Ipoh dan Sunway College Ipoh, manakala pembangunan akan datang merangkumi Sunway University, sebuah hotel baharu serta pusat konvensyen.

Bandar bersepadu ini kini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion, dengan tambahan RM4 bilion lagi dirancang dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Terletak kira-kira 5 minit dari Lebuhraya Utara-Selatan melalui susur keluar Tambun, Sunway Ipoh Mall diposisikan sebagai destinasi hentian Rehat dan Rawat (R&R) generasi baharu untuk pengembara antara negeri, yang menawarkan pengalaman persinggahan lebih menyeluruh menerusi gabungan runcit, makanan dan minuman, hiburan serta aktiviti riadah.

Tawaran runcit dan riadahnya merangkumi gelanggang luncur ais pertama di Perak, pusat boling 36 lorong, kemudahan sukan pelbagai guna, pusat pameran serta pawagam 10 dewan dengan kapasiti kira-kira 1,500 tempat duduk.

Pusat beli-belah ini turut menampilkan ‘Gourmet Garden’ yang menggabungkan ruang makan dalaman dan luaran dalam suasana menghijau dengan pemandangan yang diinspirasikan oleh landskap batu kapur Tambun.

Dengan 2,950 petak parker, termasuk 100 petak pengecasan kenderaan elektrik (EV), Sunway Ipoh Mall direka untuk melengkapi ekosistem pelancongan dan riadah yang lebih luas di Sunway City Ipoh, di samping mewujudkan platform baharu untuk peruncit dan rakan niaga menyertai pertumbuhan ekonomi pengguna dan pelawat di Perak.

Artists Impression Of Sunway Ipoh City During The Day

Sehingga September 2026, sebanyak 435 lot kedai, meliputi keseluruhan ruang runcit seluas 850,000 kaki persegi di bawah portfolio Sunway Malls, telah menjalani kerja-kerja naik taraf atau pengubahsuaian. Ini mencerminkan komitmen berterusan kumpulan untuk meningkatkan dan memperbaharui aset sedia ada, seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan baharunya.

Setakat ini, Sunway Malls memiliki dan menguruskan 11 pusat beli-belah, dengan lima lagi dalam perancangan untuk dibangunkan dalam tempoh tiga tahun akan datang, menjadikan jumlah kesuluruhan portfolionya meningkat kepada 16 pusat beli-belah.

Strategi pertumbuhan kumpulan memberi tumpuan kepada pembaharuan ruang runcit sedia ada, pengukuhan kerjasama dengan rakan niaga serta pertumbuhan organik menerusi pembangunan baharu.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.