in

Sudah Kahwin 29 Tahun, Rupanya Perkahwinan Tak Sah Sebab…

syaz ft 2025 11 14T165225.756

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Ikatan perkahwinan yang disangka sempurna selama 29 tahun akhirnya terbongkar sebagai tidak sah apabila Latifah (bukan nama sebenar), 58, rupa-rupanya menjadi mangsa sindiket nikah menggunakan wali hakim palsu.

Latifah, yang berasal dari ibu kota, berkahwin sebagai isteri kedua pada tahun 1996 di Perak tanpa pengetahuan keluarganya. Namun, ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh baru-baru ini bagi mendapatkan pengesahan perkahwinan, dia dikejutkan apabila hakim syarie mengisytiharkan pernikahannya dengan arwah suami sebagai nikah fasid (perkahwinan yang tidak sempurna pada syarat sah nikah tetapi tidak sempurna pada rukun nikah)


Artikel berkaitan: Lelaki Perancis Jual Slot Iklan Pada Sut Perkahwinan, Berjaya Raih RM11K

Artikel berkaitan: Uqasha Persoal Status Pernikahan Kerana Tarikh Di Sijil Nikah Berbeza Dengan Akad

Menurut laporan Harian Metro, penemuan itu dibuat selepas didapati individu yang bertindak sebagai ‘naib kadi’ ketika pernikahan berkenaan sebenarnya telah melantik dirinya sendiri sebagai ‘wali hakim’ secara tidak sah dan tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.

Malah, satu fatwa yang dikeluarkan Pejabat Mufti Negeri Perak pada 29 Julai 1997 turut menegaskan bahawa semua pernikahan melalui wali hakim oleh bekas naib kadi tersebut selepas 22 Julai 1989 adalah tidak sah.

“Ketika kami bernikah, ayah kandung saya masih hidup dan ada di Kuala Lumpur. Saya bernikah di Gopeng, Perak kerana suami yang ajak nikah di situ tanpa kehadiran ayah kandung saya,” katanya.

Latifah turut mengakui di hadapan hakim bahawa dia tidak pernah ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran melantik wali hakim sebelum bernikah.

Akibat pernikahan yang tidak sah itu, dia tidak layak menuntut harta pusaka yang ditinggalkan arwah suaminya.

“Saya rasa amat terkilan kerana lebih 20 tahun hidup bersama, pahit manis dilalui, tapi rupanya pernikahan kami tidak sah. Malah saya jadi isteri yang tidak sah di sisi agama dan undang-undang. Itu sangat menyakitkan,” katanya sebak.

Dia berkata lagi, penyesalan itu bertambah berat apabila memikirkan nasib dua anaknya yang kini dewasa kerana status perkahwinan memberi kesan kepada nasab dan hak mereka.

“Kalau boleh diputarkan masa, saya tidak akan sekali-kali ikut jalan mudah untuk nikah dahulu. Saya ingat ia sah sebab ada orang yang mengaku sebagai wali hakim,” katanya.

Latifah turut menasihatkan wanita lain agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan jalan pintas untuk berkahwin.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.