Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal telah memfailkan saman terhadap penyanyi rap, Caprice, atas dakwaan memuat naik hantaran yang dikatakan berbaur fitnah di Instagram miliknya berhubung dengan tindakannya mengaitkan ahli perniagaan itu dengan bekas isterinya Emilia Hanafi.
Memetik laporan Harian Metro, SM Faisal, 43 memfailkan saman tersebut di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lalu, dia sebagai plaintif menamakan Caprice sebagai defendan.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.
Dakwa plaintif, insiden tersebut diuar-uarkan dan dimanipulasi oleh Emilia atau pihak tertentu dengan berniat jahat (mala fide), melalui media massa atau elektronik secara meluas tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif atau Mahkamah Syariah, berhubung kedudukan sebenar kes membabitkan plaintif dan bekas isterinya di Mahkamah Syariah.
Sehari selepas itu, SM Faisal mendakwa Caprice atau sebenarnya Ariz Ramli, 36 telah memburukkan lagi plaintif atau Mahkamah Syariah dengan cara muat naik video memfitnah di Instagram.
“Hantaran memfitnah itu mendapat publisiti meluas kerana defendan mempunyai lebih kurang 1.5 juta pengikut di Instagramnya dan hantaran tersebut dilihat atau disukai kira-kira 14,500 orang.”
Akibat hantaran tersebut, SM Faisal mendakwa bahawa ia seolah-olah menggambarkan bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu penjarakan bekas isterinya. Malah, dianggap tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.
Ia telah menyebabkan SM Faisal mengalami tekanan emosi akibat cemuhan dari masyarakat. Difahamkan, ahli perniagaan telah membuat satu surat tuntutan pada 7 Julai lalu untuk memohon agar defendan tarik balik hantaran tersebut dan memohon maaf kepada plaintif tetapi gagal dipenuhi.
Turut dipohon perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu, selain memohon perintah untuk menghalang defendan atau wakilnya daripada mengganggu dan mengugut plaintif serta ahli keluarganya, sama ada secara lisan atau melalui media sosial.
Oleh sebab itu, SM Faisal memohon ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos.
Baca : “Orang Indonesia sedang menunggu berita baiknya”- Netizen Mahu SM Faisal Cepat Nikahi Luna Maya