Bagi sesetengah orang, kalau hubungan tu dah terputus separuh jalan, memang mereka tak akan kembali semula bersama bekas pasangan atas sebab-sebab tersendiri. Tak dinafikan, ada juga individu yang sanggup lakukan apa sahaja demi memenangi semula hati bekas kekasih.
Bagi seorang wanita ini pula, demi mendapatkan perhatian bekas teman lelakinya, dia sanggup membuat satu sesi penggambaran perkahwinan. Walaupun tidak benar-benar berkahwin seperti yang cuba ditunjukkan dalam gambar, wanita ini tetap berpakaian gaun putih. Siap ada pelakon jadi pengantin lelaki dan kek kahwin lagi!
Berkongsi kisahnya di laman sosial TikTok, wanita yang menggunakan username @dieschaklin menceritakan ‘kerja gila’ yang pernah dilakukannya untuk menarik perhatian bekas kekasihnya.
“Pura-pura berkahwin dan ada jurugambar profesional supaya si dia akan hubungi saya semula,” tulis wanita itu dalam videonya.
Menerusi video berkenaan, walaupun segalanya hanyalah fiksyen semata-mata, sesi penggambaran perkahwinan palsu ini langsung tak nampak macam kerja amateur sebab memang cantik dan nampak real!
Meskipun tidak mendedahkan lokasi penggambaran, menerusi video berkenaan,, penggambaran perkahwinan olok-olok itu dilakukan di sebuah tempat yang kelihatan mewah lengkap dengan piano dan siling tinggi seperti dalam filem Disney Princess.
Tidak cukup dengan itu, wanita berkenaan turut memakai gaun putih cantik sambil memegang sejambak bunga putih. Malah, photoshoot perkahwinan olok-olok itu juga dilengkapi kek kahwin tiga tingkat dan seekor kuda hidup.
Ex-boyfriend tak reply pun story
Walau bagaimanapun, photoshoot perkahwinan pura-pura yang mewah itu berakhir dengan kekecewaan selepas wanita berkenaan mendedahkan bekas teman lelakinya hanya tengok sahaja gambar-gambar yang dikongsikan di Instagram Story miliknya. Lelaki terbabit juga difahamkan, tak beri apa-apa respon pun seperti yang wanita ini ingini.
Setakat artikel ini ditulis, video perkongsian wanita berkenaan sudah meraih lebih 3 juta tontonan. Walaupun dia tidak dapat menarik perhatian bekas teman lelakinya, wanita terbabit berjaya menarik perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya terhibur dengan usaha wanita terbabit.
Sumber: UNILAD, TikTok @dieschaklin