Akhirnya kes faraid melibatkan balu Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali dan keluarga mertuanya selesai selepas mendapat keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.
Menurut Harian Metro, Hidayah yang membuat tuntutan faraid pada 15 Julai lalu itu berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak membabitkan rumah, kereta, wang ringgit, barang peribadi seperti jam tangan, kasut, telefon bimbit, kamera dan barangan lain peninggalan arwah.
“Alhamdulillah, selesai urusan faraid. Pihak sana pun akan dapat bahagian mengikut hukum syarak. Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah. Selepas ini doakan saja yang terbaik buat saya dan anak.
“Walaupun pihak sana tak hadir, tapi tidak mengganggu proses mahkamah sebab bahagian sudah dibahagikan. Apa saja yang ditinggalkan arwah seperti rumah, kereta, semua wang, jam tangan, kasut, kamera, telefon bimbit dan barang lain difaraidkan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai berapa banyak wang peninggalan arwah, Hidayah enggan mendedahkannya.
“Keputusan untuk berpindah ke rumah itu pun, tak tahu lagi. Tunggu urusan faraid ini diselesaikan. Nak dapatkan kereta semula pun, insya Allah,” katanya lagi.
Kes kereta kena tarik tak benar
Dalam pada itu, Hidayah juga menafikan spekulasi yang mengatakan kereta milik arwah suaminya sudah ditarik.
“Kereta kena tarik tak benar. Kereta masih ada, tapi saya tak nak komen lebih lanjut. Nanti akan tahu juga,” katanya.
Berkenaan dakwaan Ali Puteh yang mana wang RM10,000 dikeluarkan daripada akaun arwah pula, Hidayah mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengulas lebih lanjut.
“Apa saya boleh katakan, RM10,000 memang saya ambil, tapi saya masukkan dalam akaun bank anak. Tak guna satu sen pun,” katanya.
“Harap hadir untuk kes hadanah”
Selain kes faraid, mahkamah juga telah menetapkan tarikh baru pada Oktober depan mengenai tuntutan hadanah.
Ini berikutan kegagalan pihak ibu mertuanya, Sabariah Arshad untuk hadir ke mahkamah.
“Saya harap selepas ini pihak sana akan hadir untuk kes hadanah,” katanya.
Dalam pada itu, usaha pihak media dalam menghubungi Ali Puteh bagi mendapatkan penjelasan tidak berjaya apabila pelawak tersebut tidak menjawab panggilan telefon.
Semoga kes ini dapat diselesaikan dengan baik.