Pempengaruh Ahmad Aslam, 27, atau dilebih dikenali sebagai Aslam reda bahawa perkahwinannya dengan Marissa Dania Hakim, 21, berakhir selepas mereka disahkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini.
Aslam berkata, dia menyifatkan keputusan mahkamah dalam semua perbicaraan yang dilalui selama ini adalah yang terbaik.
“Saya pun tak banyak benda nak cakap, saya harap keputusan mahkamah kali ini, atas semua perbicaraan yang kita telah lalui, saya harap ini adalah terbaik untuk kami berdua.
“Saya harap orang ramai tidak lagi berkata apa-apa selepas ini terutama yang buruk dan negatif (tentang perpisahan mereka). Kadang-kadang perkara ini pun membabitkan isteri (pertama) saya, Umisya Mazlan dan anak-anak juga,” ujarnya.
Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata itu mendoakan yang terbaik buat Marissa dan berharap segala yang berlaku menjadi pengajaran kepada semua pihak.
“Apapun, insya-Allah saya doakan yang terbaik buat Marissa.
“Semoga apa yang sudah berlaku ini menjadi pengajaran buat kita berdua dan untuk semua orang yang tengok. Itu sahaja dan saya tidak ada apa-apa nak komen lagi, terima kasih,” katanya.

Artikel berkaitan: Aslam Tepis Dakwaan Pernikahan Dengan Marissa Masih Belum Berdaftar
Artikel berkaitan: “Kejarlah cita-cita” – Marissa Dania Ikut Adik Sambung Belajar, Netizen Titip Kata-kata Semangat
Sementara itu, peguam syarie mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser berkata, sekiranya pasangan itu berhasrat untuk kembali bersama, merela perlu melalui akad nikah yang baharu.
Ditanya mengenai reaksi Marissa selepas keputusan dibacakan, Muhammad Ammar berkata anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim itu dilihat menerima keputusan berkenaan dengan terbuka.
Menurutnya, tiada momen bersalaman atau bermaafan berlaku di dalam dewan bicara.
Untuk rekod, Aslam memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk di mahkamah berkenaan pada 10 Mac lalu.
Sebelum itu, pada Mei tahun lalu, Aslam dan Marissa hadir ke mahkamah sama bagi proses pengesahan pernikahan mereka selepas dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Perkahwinan tersebut menjadi perhatian ramai apabila Aslam ketika itu masih berstatus suami kepada pempengaruh Umisya Mazlan.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian
