Seorang remaja lelaki disabitkan kesalahan membunuh teman wanitanya pada tahun 2019. Motif kejadian kejam itu dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati selepas mangsa memanggilnya buruk.
Menerusi pengakuan di mahkamah, suspek, Bernandino Matias yang berusia 19 tahun semasa pembunuhan itu berlaku berkata, dia sempat bertanya khabar teman wanitanya itu selepas dia mengelar lehernya.
“Saya tanya dia, ‘Sayang, awak okay ke?’ lepas saya kelar leher dia. Dia ada keluarkan bunyi seperti dia berdengkur dan saya segera tinggalkan lokasi,” kata Bernandino.
Menurut laporan, Bernandino telah melompat ke belakang badan mangsa yang dikenali sebagai, Tania Rico, 16, sebelum menarik rambutnya dan mengelar leher remaja perempuan itu.
Ketika ditahan polis pada tahun 2019, Bernandino memberitahu pihak polis bahawa dia amat marah dengan Tania selepas remaja itu menghina rupa parasnya.
“Dia kata saya buruk. Tania juga ada menghina keluarga saya,” kata Bernandino.
Menurut Sean Mukaddam yakni pegawai polis yang menyoal siasat Bernandino, suspek hilang kawalan selepas teman wanitanya itu mahu memutuskan hubungan mereka yang sudah empat tahun dibina.
“Mangsa (Tania) menyuruh suspek (Bernandino) untuk meninggalkannya kerana dia sudah mencintai lelaki lain. Namun, suspek tidak mahu memutuskan hubungan mereka kerana dia sudah terlalu banyak berkorban,” kata Sean Mukaddam.
Decatur Daily melaporkan, Bernandino mengelar leher Tania sebanyak dua kali sebelum melarikan diri ke rumah bapa saudaranya di Tennessee.
Bernandino juga dilaporkan sempat membuang senjata pembunuhan di Sungai Tennessee ketika dalam perjalanan. Walau bagaimanapun, suspek ditahan tidak lama kemudian di Knoxville sebelum diekstradisi semula ke Alabama dimana dia telah membunuh teman wanitanya.
Bernandino kini ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan semula yang telah dijadualkan pada September 2021.
Sumber: Metro UK
Baca: “Ia benar-benar berlaku” – Teman Lelaki Terkedu Teman Wanitanya Betul-Betul Dibunuh