in

“Saya ingin bingkaikan gambar itu…” – Permintaan Bapa Arwah Nurin Jazlin Satukan Gambar Bersama Anak Undang Sebak Warganet

nurin jazlin

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Hampir 18 tahun berlalu, namun tragedi yang menimpa kanak-kanak kecil, Nurin Jazlin, masih meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan rakyat Malaysia.

Lebih menyentuh hati, baru-baru ini bapanya, Jazimin Abdul Jalil, membuat permintaan dalam grup Facebook Edit Apa Hari Ini untuk menggabungkan gambarnya dengan gambar arwah anaknya dalam satu imej.


Dalam hantaran sama, Jazimin turut meminta agar gambar tersebut disunting dalam saiz besar supaya boleh dibingkaikan.

Permintaan itu menjadi antara hantaran paling tular dalam grup berkenaan apabila menerima hampir 15,000 tanda suka dan 2,300 komen.

Malah, ramai ahli kumpulan turut berkongsi hasil suntingan masing-masing sebagai tanda sokongan.

nurin jazlin
Tangkap layar permintaan bapa arwah Nurin Jazlin dalam grup Facebook Edit Apa Hari Ini yang meraih perhatian warganet.

Artikel berkaitan: Bapa Dakwa Mayat Ditemui 14 Tahun Lalu Bukan Anaknya, Polis Tegaskan Ujian DNA Sah Milik Nurin Jazlin

Artikel berkaitan: “Sekelip mata dah tak ada” – Ini 5 Kes Kanak-Kanak Yang Hilang Tanpa Kesan Di Malaysia

Rata-rata komen ditinggalkan mendoakan Allahyarham Nurin Jazlin yang dibunuh oleh seorang individu tidak dikenali pada 2007.

Menurut netizen, kes berkenaan merupakan antara tragedi yang paling menggemparkan negara dan dikenang sehingga hari ini.

Seorang pengguna berkata, nama Nurin sentiasa terpahat dalam ingatannya walaupun mereka tidak mempunyai sebarang pertalian.

“Nama yang sentiasa dalam ingatan walaupun tiada sebarang ikatan… Al-Fatihah untuk arwah adik Nurin,” kata Azza.

Seorang lagi pengguna pula berkongsi bahawa dia masih mengingati detik pertama membaca kisah Allahyarham di akhbar.

“Saya pasti mengalirkan air mata kerana emosi terganggu. Adik ini sebaya anak saya. Al-Fatihah,” katanya.

Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin dilaporkan hilang selepas didakwa diculik ketika keluar menuju ke pasar malam di Wangsa Maju.

Kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah, menyebabkan adik-beradik serta ibu bapanya berasa cemas dan tertekan.

Pada pagi 17 September 2007, mayat Nurin ditemui di dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya. Hasil pemeriksaan mengesahkan bahawa beliau telah dibunuh.

Namun sehingga kini, identiti pembunuh masih tidak diketahui, dan kes tersebut kekal belum terungkai.

Sumber: Grup Facebook Edit Apa Hari Ini

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.