Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus berkongsi mesej yang dihantar oleh pelumba Jepun, Shinji Nakano susulan dia dikecam oleh segelintir netizen Malaysia.
Akaun media sosial Nakano telah ‘diserang’ netizen Malaysia selepas insiden perlumbaan akhir acara keirin di Sukan Olimpik Paris pada Ahad lalu dengan rata-rata menganggap pelumba Jepun itu menjadi punca Shah Firdaus terlepas pingat gangsa.
Menurut Shah, Nakano meluahkan rasa terkilan dengan apa yang terjadi kerana dia menganggap orang Malaysia baik-baik belaka.
Artikel berkaitan: “Akaun rasmi dia ke?” – Permohonan Maaf Pelumba Jepun Langgar Shah Firdaus Cetus Persoalan
Artikel berkaitan: Adik Shah Firdaus Hiba Lihat Abang Dirempuh, Mohon Netizen Jangan Kecam Pelumba Jepun
“Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah.
“Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik, saya macam malunya,” kata Shah Firdaus yang menganggap tindakan itu memalukan Malaysia.
Jelas Shah, insiden jatuh merupakan perkara biasa dalam acara keirin dan Nakano tidak sengaja ketika terlanggar beliau semasa perlumbaan berlangsung.
“Perkara itu memang berlaku (perlanggaran), ada body contact dan itu biasa dalam keirin dan sebenarnya dia tak berniat nak ‘hentam’ saya, itu sebab G-force.
“Bila ada body contact, G-force itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shah juga memaklumkan permohonan maaf yang kononnya dari akaun TikTok pelumba Jepun itu sememangnya palsu.
Sumber: Berita Harian