Bank Rakyat sekali lagi mencuri perhatian apabila mengumumkan prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun 2025.
Bagi Tahun Kewangan 2025 (TK2025), Bank Rakyat mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.9 bilion, meningkat 4.2% berbanding tahun sebelumnya. Prestasi ini disokong oleh asas perniagaan yang kukuh, pertumbuhan aset kepada RM131.0 bilion (+6.6%) serta pembiayaan kasar yang meningkat 8.6% kepada RM93.3 bilion, melebihi purata industri.

Pendapatan Kumpulan turut naik kepada RM6.8 bilion, didorong pelaksanaan pelan BR25 serta kekuatan dalam segmen pembiayaan seperti perumahan, kenderaan dan pajak gadai Islam. Dalam masa sama, Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i (CASAIA) meningkat 15.2% kepada RM12.4 bilion dengan nisbah 14.4%, manakala pendapatan operasi lain melonjak 30.8% kepada RM938.4 juta.
Artikel berkaitan: Bank Rakyat Tawar Hadiah 10.8 Juta, Umum Jutawan Terbaharu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus
Artikel berkaitan: Dividen KWSP 6.3% Untuk Simpanan Konvensional & Shariah
Dari segi kestabilan, nisbah pembiayaan terjejas kasar menurun kepada 1.8% dan nisbah kos kepada pendapatan kekal sihat pada 47.8%, dengan kedudukan modal terus kukuh melebihi keperluan kawal selia.
“Pembayaran dividen ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun lepas. Saya turut dimaklumkan bahawa Bank Rakyat telah berjaya mengekalkan prestasi kasar dividen dua digit bagi tempoh melebihi 20 tahun. Satu pencapaian yang cukup membanggakan” – Steven Sim.
Menurut Steven Sim, dividen 18% berjumlah RM534.7 juta, yang akan dibayar mulai 16 April 2026 kepada lebih 783,324 anggota. Dalam masa yang sama, Bank Rakyat juga turut menyalurkan RM57.0 juta kepada dana koperasi bagi menyokong pembangunan sektor tersebut.

Melangkah ke hadapan, Bank Rakyat bakal melaksanakan pelan LEAD30 bagi tempoh 2026-2030 untuk memacu pertumbuhan mampan, memperkukuh kedudukan sebagai bank Islam pilihan serta meningkatkan keupayaan digital bagi memperluas capaian pelanggan.
Sumber: Bank Rakyat
