Peristiwa Gunung Denali di Alaska Amerika Syarikat telah mengundang simpati rakyat Malaysia, salah seorang peserta, Muhammad Illaham Ishak, mendedahkan beliau mengambil keputusan untuk turun sendiri ke kem lima bagi mendapatkan helikopter bertujuan membantu rakannya yang terperangkap akibat cuaca buruk ketika perjalanan turun dari puncak berkenaan, 28 Mei lepas.
Walaupun perlu mengambil risiko turun berseorangan mengharungi ribut dan salji tebal selama kira-kira 15 jam bagi mendapatkan bantuan kecemasan, beliau berkata tindakan itu perlu dilakukan segera memandangkan keadaan seorang lagi pendaki Zulkifli Yusuf ketika itu bertambah buruk dan mengalami kecederaan kaki.
Artikel berkaitan : “Real? Baru tahu!!” – Netizen ‘Impressed’ Gunung Daik Bercabang Tiga Memang Wujud
Artikel berkaitan : Gunung Ruang Meletus, Malaysia Airlines & AirAsia Batalkan Penerbangan Ke Sabah & Sarawak
“Saya turun ke bawah sebenarnya nak cari helikopter persendirian untuk pergi ambil Ajoi (Zulkifli) di Football Field (laluan landai sebelum puncak), tapi perkhidmatan tu tiada, hanya ada renjer sahaja dan mereka tidak dapat naik ke atas kerana cuaca buruk.
“Renjer lihat tangan dan kaki saya, mereka kata saya dah ada high-altitude pulmonary edema (paru-paru berair altitud tinggi atau HAPE) dan suruh saya turun segera dan tak boleh tunggu lama.”
“Memang helikopter yang ada ketika itu sepatutnya ambil Ajoi melalui bucket, lepas itu ambil saya dan turun ke bawah tapi memandangkan keadaan cuaca yang buruk dan keadaan kesihatan saya, mereka buat keputusan untuk ambil saya dahulu dan bawa turun ke bawah.”
Muhammad Illaham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tengah malam kelmarin, kepulangannya disambut laungan ‘Allahu Akhbar’ oleh keluarga dan rakan-rakan susulan dengan tragedi yang berlaku ke atasnya dan dua lagi pendaki Malaysia itu selepas berjaya menawan puncak Gunung Denali pada 27 Mei lepas.
Beliau yang juga Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia berkata, sebaik sahaja beliau berjaya dibawa turun, beliau terus dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami luka beku tahap tiga.
Pada ketika itu beliau bimbang dengan keadaan Zulkifli dan Zainudin Lot, yang sedang berada di Football Field berketinggian 5,791 meter iaitu lokasi antara puncak Denali dan kem lima.
“Saya harap esok itu (29 Mei), helikopter boleh naik tapi rupanya tak boleh ambil mereka juga kerana cuaca buruk.”
“Jumaat lepas (31 Mei), renjer dapat naik tapi semua terkejut kerana rupanya Ajoi dah tinggalkan kita dua hari awal. Saya betul-betul terkejut bila diberitahu oleh Wisma Putra.”
Menerusi Astro Awani, Zulkifli dilaporkan meninggal dunia pada pukul 6 pagi waktu tempatan 29 Mei lepas, semasa berlindung di dalam sebuah gua salji di Football Field dengan punca kematian disyaki akibat HAPE.
Jasadnya selamat dibawa turun dari lokasi kejadian pada 8.30 pagi waktu tempatan 1 Jun lepas dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.
Muhammad Illaham bersama 2 lagi rakan pendaki iaitu Zainudin, 48, dan Zulkifli, 37, berada di puncak Gunung Denali yang berketinggian 6,190 meter sekitar 11 malam 27 Mei (waktu tempatan).
Sebelum ini, Muhammad Illaham telah melakukan pendakian di beberapa puncak tertinggi seperti Gunung Kilimanjaro, Afrika; Gunung Elbrus, Rusia; Gunung Everest, Nepal; Gunung Aconcagua, Argentina dan Gunung Carstensz, Indonesia.
Sumber : Astro Awani