Kalau kat stesen minyak, kita memang dah biasa nampak dua warna utama iaitu nozel kuning untuk RON95 dan nozel hijau untuk RON97. Tapi korang perasan tak, ada sesetengah stesen minyak ada satu lagi pilihan extra iaitu RON100.
Baru-baru ni, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah umum harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95), memetik laporan daripada Sinar Harian.
Sementara itu, harga petrol RON100 di Malaysia bagi minggu 18-24 September 2025 pula adalah RM5.00 seliter iaitu hampir tiga kali ganda lebih mahal berbanding RON95.
Jadi selain harga, apa sebenarnya perbezaan antara RON95, RON97 dan RM100 ni? Sebab kebanyakan kita memang dah terbiasa pilih RON95 sebab lebih murah dan mesra poket. Tapi boleh ke kalau kereta kita guna RON97 atau RON100? Ke sebenarnya tak ada beza pun?
Jom kita selami.
Apa maksud RON?
Maksud RON dari sudut teknikal adalah singkatan untuk Research Octane Number. Ia juga membawa maksud kepada tahap ketahanan petrol daripada ‘ketukan’ atau lebih dikenali sebagai knocking dalam enjin.
Knocking ni apa? Knocking ni sebenarnya berlaku bila campuran udara dan petrol dalam silinder terbakar lebih awal daripada sepatutnya, iaitu sebelum percikan api daripada spark plug. Letupan pramatang ni boleh ganggu enjin serta rosakkan prestasi sekiranya dibiarkan.
Ia juga boleh diibaratkan kalau korang tiup belon yang nipis (RON rendah), baru tiup sikit dah boleh pecah. Tapi kalau belon yang tebal (RON tinggi), dia boleh tahan lebih banyak tekanan sebelum pecah.
Jadi begitu juga dengan petrol. Lagi tinggi nombor RON, lagi susah petrol tu nak terbakar secara pramatang. Maksudnya, perbezaan yang paling ketara antara RON95, RON97 dan RON100 sebenarnya adalah pada tahap ketahanan petrol itu sendiri terhadap knocking.
Artikel Berkaitan: Subsidi Petrol RON95 Tidak Terhad MyKad Sahaja, Pelbagai Mekanisme Disediakan – Armizan – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: ”Boleh ulang-alik Kodiang 6 kali sebulan!” – Ramai Persoal Kuota RON95 300 Liter Sebulan Tak Cukup, Ini Respon Netizen – Lobak Merah
RON95
RON95 merupakan petrol paling meluas digunakan di Malaysia kerana sudah disubsidi oleh kerajaan. Harganya lebih rendah berbanding pilihan lain, menjadikannya mesra poket untuk kebanyakan rakyat.
Hampir semua kereta harian direka untuk menggunakan RON95. Secara asasnya, RON95 sudah memadai keperluan enjin moden yang dibina dengan nisbah mampatan sederhana.
Kelebihan terbesar RON95 ialah penjimatan kos. Ia membolehkan pemandu menikmati perjalanan harian tanpa terbeban dengan harga petrol yang tinggi. Dari segi prestasi pula, ia cukup sesuai untuk enjin biasa. Ramai pemandu yang cuba isi RON lebih tinggi mendapati bahawa perbezaannya sangat kecil. Malah ada juga pakar automotif yang mengatakan peningkatannya cuma sekitar 2-3% sahaja, membuatkan terlalu kecil untuk benar-benar merasai perbezaannya ketika memandu.
Oleh itu, walaupun ada mitos mengatakan minyak RON tinggi boleh membuatkan kereta bergerak lebih laju, hakikatnya kereta yang memang direka untuk RON95 tidak akan menunjukkan peningkatan ketara pun bila guna petrol gred tinggi.
RON97
RON97 pula mempunyai tahap ketahanan knocking yang lebih tinggi. Ia direka khusus untuk enjin berkuasa besar seperti sports car atau model continental premium yang beroperasi pada suhu serta tekanan lebih tinggi. Petrol ini membolehkan enjin mengeluarkan kuasa secara lebih optimum kerana proses pembakarannya lebih stabil.
Selain itu, petrol RON97 biasanya melalui proses penapisan lebih teliti dan dilengkapi dengan aditif tambahan. Kelebihannya bukan sekadar pada prestasi, tetapi juga pada aspek penjagaan enjin.
Pembakaran yang lebih bersih ni boleh bantu mengurangkan pengumpulan karbon dalam ruang pembakaran, menjadikan enjin lebih smooth, responsif dan berpontensi memanjangkan jangka hayatnya.
Namun, untuk kereta yang enjinnya biasa, RON97 tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Jadi, RON97 lebih sesuai untuk digunakan oleh pemandu yang memiliki kereta berkuasa tinggi berbanding kereta kegunaan harian.
RON100
RON100 ialah petrol dengan RON paling tinggi di Malaysia, tetapi tidak semua stesen minyak menawarkannya. Selalunya kita boleh jumpa RON100 di stesen minyak Petron dengan nozel berwarna silver.
Harganya jauh lebih mahal, iaitu mencecah RM5.00 seliter. Ia diwujudkan khas untuk kereta berprestasi tinggi, seperti sports car atau supercar yang benar-benar memerlukan tahap ketahanan knocking yang tinggi.
Dengan RON100, enjin boleh berfungsi dengan lebih efisien tanpa risiko knocking, malah pembakaran menjadi lebih efisien. Sesetengah formulasi RON100 turut mengandungi bahan tambahan yang boleh bantu meningkatkan respons pecutan, membersihkan ruang pembakaran, dan menghasilkan emisi yang lebih bersih.
Jadi, kereta apa yang sesuai?
Secara ringkas, kereta harian seperti sedan keluarga atau Perodua Myvi dan sebagainya sudah memadai dengan RON95. Enjin jenis ini direka khas untuk beroperasi optimum dengan RON95 sahaja.
Jadi, walaupun pemandu mengisi RON97, prestasi tambahan yang ada pada petrol tersebut tidak akan benar-benar terasa kerana enjin kereta harian tidak dibina untuk memanfaatkan tahap RON yang lebih tinggi.
Bagi kereta dengan enjin turbo seperti Proton X50, Honda Civic Turbo atau BMW 3 Series, RON97 adalah pilihan yang lebih sesuai. Enjin jenis ini beroperasi dengan nisbah mampatan tinggi dan menghasilkan lebih banyak haba. Dengan menggunakan RON97, pemandu boleh merasai kelebihan seperti pecutan lebih lancar, bunyi enjin lebih senyap serta kurang risiko knocking.
Sebaliknya, kalau enjin turbo ini dipaksa menggunakan RON95, prestasi sebenar mungkin tidak akan dicapai. Malah, ada kemungkinan berlaku knocking pada enjin kereta sekiranya membiasakan kereta tersebut.
Sementara itu, RON100 pula hanya praktikal untuk kereta berprestasi tinggi, contohnya kereta Nissan GT-R atau Ferrari 488 yang sememangnya merupakan kereta sports car trek dan super car. Dengan RON100, enjin boleh bekerja pada tahap paling optimum kerana petrol ini sangat tahan pada knocking walaupun pada suhu dan tekanan yang ekstrem.
Pemandu boleh merasai enjin lebih bertenaga serta pembakaran lebih bersih. Tetapi jika digunakan pada kereta biasa, RON100 tidak memberi apa-apa kelebihan tambahan selain ‘membakar’ duit di stesen minyak.
Tapi kenapa harganya berbeza?
Menurut kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya negara Malaysia yang menurunkan harga bahan api ketika ekonomi global tidak menentu.
“Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menepati janji untuk mengurangkan beban rakyat, selain memastikan subsidi hanya dinikmati warganegara,” jelas beliau.
Perkara ini menjelaskan bahawa harga RON95 yang diturunkan baru-baru ini adalah hasil kawalan harga dan subsidi kerajaan, jadi sebab itulah ia lebih murah di stesen minyak.
Manakala harga bagi RON97 dan RON100 pula dilepaskan mengikut harga pasaran global dan tiada subsidi daripada kerajaan. Proses pengeluarannya untuk mencapai RON yang tinggi ini juga memerlukan kos pengeluaran yang agak besar.
Secara kesimpulan, yang paling penting adalah kita kena kenal enjin kereta sendiri. Tak semua kereta perlukan petrol mahal, dan tak semua petrol sesuai untuk semua kereta.
Jadi, seeloknya isi mengikut kesesuaian, barulah enjin boleh tahan lama, di samping poket pun terjaga!