Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa culik oleh seorang lelaki bermotosikal di Pekan Simpang Kuala, Kota Setar selepas bertindak berani menggigit tangan suspek.
Kejadian berlaku sekitar jam 8.26 malam pada 13 Mei lalu ketika mangsa sedang berjalan seorang diri di sebuah lorong sebelum dihampiri seorang lelaki yang menaiki motosikal.
Suspek kemudiannya berhenti di hadapan mangsa dan bertindak memeluk serta menutup muka remaja itu menggunakan tangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, mangsa berjaya melepaskan diri selepas menggigit tangan lelaki tersebut sebelum berlari ke sebuah pusat tuisyen berhampiran untuk mendapatkan bantuan.
Dalam pada itu, menerusi rakaman CCTV di kawasan berkenaan, dapat dilihat mangsa sempat bergelut serta menendang motosikal suspek hingga terjatuh sebelum melarikan diri.
View on Threads
Artikel berkaitan: “Pegang, angkat, ci*m” – Lelaki Warga Asing Ceroboh Sekolah, Buat Gangguan Terhadap Murid
Artikel berkaitan: “Pengalaman gila dalam hidup kami” – Bapa Kongsi Detik Anak Hampir Jadi Mangsa C*lik Di Kawasan Perumahan
Susulan kejadian itu, pihak polis telah mengambil rakaman percakapan mangsa serta menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bersama pihak forensik dan detektif.
Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis.
Sumber: Harian Metro
