Ramai ibu bapa yang terpaksa hantar anak ke pengasuh disebabkan tuntutan kerja. Sebelum hantar, mesti ramai yang dah buat background check tersendiri untuk pastikan anak sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Pun begitu, bahaya tetap ada di mana-mana dan kejadian buruk boleh berlaku tanpa kita duga.
Baru-baru ini, pihak polis telah menahan lima individu termasuk suspek utama seorang remaja perempuan yang baru berusia 14 tahun kerana menculik seorang bayi berusia sembilan bulan di Bukit Tengah, Pulau Pinang.
Bawa lari ketika nenek sedang solat
Menurut Harian Metro, lima individu yang berusia dari 14 ke 43 tahun ini telah ditahan dalam serbuan di dua lokasi di sebuah pondok di Machang Bubok dan sebuah rumah di Kulim.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Tan Cheng San, berkata serbuan ini dibuat selepas mereka mendapat laporan dari ibu bayi tersebut.
Pada ketika itu, ibu mangsa mahu mengambil anaknya dari rumah pengasuh pada jam 5.30 petang sebelum pengasuh berusia 65 tahun memberitahu bahawa cucu perempuannya berusia 14 tahun membawa lari mangsa (bayi perempuan) ketika dia sedang solat.
“Ibu mangsa kemudian bertanya kepada pengawal keselamatan dan dimaklumkan suspek mendukung mangsa dengan berjalan kaki dan kemudian menunggang motosikal. Ibu mangsa cuba menghubungi suspek namun tidak berjaya lalu dia membuat laporan polis.”
Pihak polis berjaya menjejak suspek utama bersama teman lelakinya yang berusia 18 tahun termasuk rakan teman lelakinya juga berusia 18 tahun di sebuah pondok di Machang Bubok pada pukul 11.50 malam.
Berpandukan dengan tangkapan ini membawa polis ke sebuah rumah di Kulim yang mana menjadi tempat bayi perempuan itu berada.
“Siasatan mendapati suspek utama membawa bayi perempuan itu di pondok di Machang Bubok terlebih dahulu, sebelum bapa tiri kepada teman lelaki suspek berusia 30 tahun datang dengan memandu van kilang, kemudian mengambil mangsa (bayi perempuan) pergi ke sebuah rumah di Kulim.
“Ketika serbuan di Kulim, bayi itu dijaga ibu kepada teman lelaki suspek yang berusia 43 tahun dan polis menahan kelima-lima mereka untuk siasatan lanjut.”
Ibu syak anak mungkin dijual kalau polis lambat
Ibu kepada bayi berusia sembilan bulan Farisha Amirah Zainal telah menceritakan sendiri keadaan dirinya ketika dapat tahu anaknya itu telah diculik oleh cucu pengasuhnya kepada Malaysia Gazette.
Jantung macam nak luruh bila diberitahu anak saya dilarikan sekumpulan individu tapi kini saya bersyukur kerana bukan sahaja dia selamat malah polis turut berjaya mengesan suspek yang terlibat.”
Menurut Farisha, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh pengasuh yang juga jirannya itu bahawa cucu perempuannya sendiri telah melarikan anaknya.
Memang macam nak luruh jantung bila saya dengar jiran saya (pengasuh) memaklumkan perkara sedemikian. Susulan itu, saya menelefon keluarga termasuk yang di kampung bagi memaklumkan kejadian sebelum suami saya pergi membuat laporan polis.
“Sampai pukul 9 malam kami (saya dan suami) masih berurusan dengan pihak polis sebelum saya kuatkan hati pulang ke rumah untuk solat.
“Selepas solat, tiba-tiba naluri hati saya kuat mengatakan anak kami akan kembali ke pangkuan. Susulan itu, saya siapkan kelengkapannya termasuk menyediakan susu serta pakaian dalam satu beg sebelum turun dan tunggu kehadirannya di pos pengawal pangsapuri kami.”
https://www.facebook.com/100053429434034/videos/pcb.597763895347920/761472191758314
Satu jam kemudian, Farisha dan suaminya dapat panggilan dari polis mengatakan yang mereka dah berjaya kesan suspek namun bayi tiada bersama mereka.
Walaupun begitu, naluri ibu ini kuat mengatakan yang dia bakal bertemu dengan anaknya semula.
Syukur sangat selepas 10 minit kami dapat panggilan mengatakan anak saya ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan.
“Memang bagaikan mimpi dan lembik lutut saya sebaik dapat memegang dan peluk anak di hospital. Selalunya dengar cerita sahaja anak diculik tapi tak sangka kami sendiri lalui kejadian ngeri itu.
“Anak saya itu mungkin dijual kepada sindiket sekiranya pihak polis lambat mengesan suspek memandangkan bayi kami ditemui dalam sebuah van yang dipercayai dalam perjalanan ke sempadan negara jiran melalui negeri di Pantai Timur.”
Ekoran kejadian ini, Farisha yang trauma telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjaga anaknya sepenuh masa.
Saya sudah serik nak bagi orang lain jaga anak dan kami sekeluarga harap mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal agar kejadian yang sama tidak berulang kepada ibu bapa lain.”
Culik sebab comel
Bagaimanapun, siasatan awal ke atas suspek utama memaklumkan bahawa tujuan dia melarikan bayi tersebut adalah kerana dia sukakan budak itu kerana terlalu comel.
Dalam pada itu, dia turut mendakwa bayi itu adalah anaknya hasil hubungan dengan teman lelakinya. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar, selain ia mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan bayi atau sebaliknya.”
Kelima-lima suspek ini telah pun ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Kalau korang nak tahu, Farisha telah membayar sebanyak RM500 sebulan kepada nenek suspek utama untuk menjaga anak tunggalnya itu. Jirannya itu menjaga anaknya dan tiga kanak-kanak lain.
Alhamdulillah nasib baik sempat diselamatkan…
Baca: [Video] Ingatkan Culik Bayi, Rupanya Ibu Kandung Usia 17 Tahun Bawa Lari Anak Dari Ibu Angkat