in

Rakyat Malaysia Kongsi Detik Cemas Berdepan Gempa Bumi di Turkiye, Terpaksa Bermalam di Terminal Bas

Rakyat Malaysia Gempa Turkey

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul…

Begitulah perumpamaan yang boleh disamakan terhadap mangsa-mangsa gempa bumi Turkiye yang bergelut dengan situasi kehilangan insan tersayang, tempat tinggal dan situasi cuaca yang buruk di negara yang dilanda bencana itu.

Terpaksa bermalam di terminal bas

Salah seorang mangsa gempa bumi berkenaan yang juga rakyat Malaysia, Nik Dhiya’ Nik Mohd Rosdi telah berkongsi detik-detik cemas ketika dia dan keluarganya berhadapan dengan situasi tersebut di sana.

Menerusi laporan berita Buletin Utama yang dikongsikan semula wartawan Mohd Redzuan Abdul Manap di Twitter, Dhiya menceritakan situasinya yang terpaksa bermalam di terminal bas kerana tidak dibenarkan pulang ke rumah.

Menurutnya, dia bersama masyarakat Sanliurfa tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana kawasan yang mereka diami sangat berisiko untuk berlaku runtuhan pada bila-bila masa.

Tambahnya lagi, walaupun tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana berlaku gegaran susulan, gegaran tersebut tidak lagi berlaku sejak dari jam 8 malam semalam.

Masyarakat Turkiye yang tinggal di timur Turkiye, semua disarankan dan dipaksa suruh tinggal di luar. Ada banyak khemah-khemah. Macam kami tinggal di terminal bas, ada surau masjid, tempat tinggal, tempat makan..  Alhamdulillah,” katanya.

Tambahnya lagi, dia juga redha jika ada apa-apa perkara buruk berlaku kepada rumahnya dan merancang untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat walaupun dalam keadaan sehelai sepinggang.

Tinggal sementara di rumah ibu mertua 

Dhiya juga menerusi akaun Facebook memberitahu yang dia bersama isteri akan ke Sakarya iaitu tempat tinggal ibu mertuanya untuk menumpang teduh di sana sementara menunggu keadaan kembali ke situasi asal.

Mereka juga terpaksa menaiki kapal terbang ke Istanbul kerana jalan darat ditutup akibat berlakunya retakan besar di lebuhraya Otoban dari Gaziantep menghala ke Adana, Turkiye.

Elhamdülillah kami di Şanlıurfa Airport. Flight kami akan berlepas pada pukul 13.10 ptg ke İstanbul Airport by Turkish…

Posted by Dhiya' Urrahman on Monday, February 6, 2023

Apa-apapun marilah kita doakan semoga saudara kita di sana tabah dengan dugaan yang menimpa dan terselamat daripada musibah ini. 

Baca: Baru Berhijrah Ke Turkiye, Imam Muda Asyraf Kongsi Keadaan Terkini Di Sana

Imam Muda Asyraf Gempa Turkiye