Seorang lelaki warga Malaysia berusia 55 tahun mengalami kecederaan parah selepas ditembak di Betong, Wilayah Yala, Thailand.
Menurut laporan New Straits Times, Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, kejadian berlaku berhampiran kedai serbaneka 24 jam di Jalan Chantharothai pada 9 malam (waktu Thailand).
Zulkepli berkata, lelaki yang berasal dari Kampung Padang Tamat, Pengkalan Hulu itu menunggang motosikal ditembak tiga das oleh lelaki tidak dikenali di hadapan kedai berkenaan.
“Lelaki itu cedera di perut dan paha dan kini dirawat di Hospital Betong,” katanya.

Selain itu, suspek yang dipercayai warga Thailand itu berjaya melarikan diri dari tempat kejadian dan polis sedang menggiatkan usaha untuk mengenal pasti dan mengesannya.
“Kes disiasat polis Thailand untuk menentukan motif disebalik serangan sama ada pertikaian peribadi atau berkaitan perniagaan,” katanya.
Difahamkan, mangsa sudah bertahun-tahun keluar masuk ke Betong dari Pengkalan Hulu kerana mempunyai isteri warga Thailand, selain mempunyai perniagaan hiburan di pekan Betong.
Tambah Zulkepli, mangsa mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah di negara ini dan siasatan kes berkenaan dijalankan sepenuhnya oleh pihak polis Thailand, namun polis Malaysia turut membantu.

