Dalam dunia yang ada macam-macam jenis kisah yang luar biasa, pasti ada je cerita yang mampu buat kita geleng kepala.
Hal ini termasuklah dengan kisah yang berlaku di Itali, di mana seorang lelaki sanggup menyamar menjadi ibunya sendiri yang telah meninggal dunia sejak tiga tahun lalu, semata-mata untuk terus mengaut duit pencen milik wanita itu.
Penyamarannya sangat mirip dengan gaya ibunya ketika masih hidup, bahkan lelaki ini juga siap diberi gelaran sebagai ‘Mrs. Doubtfire’ yang merujuk kepada watak ikonik yang pernah dibawakan oleh Robin Williams dulu.
Jadi kalau korang nak fahamkan macam mana kisah ini boleh terbongkar, boleh teruskan baca artikel di bawah ini.
Artikel Berkaitan: 60 Tahun Hidup Susah, Pemandu Lori Ini Baru Tahu Rupanya Dia Anak Orang Kaya – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Kisah Lelaki Jepun Sanggup Bayar Sewa Tempat Isteri Kena B*nuh Selama 26 Tahun Untuk Simpan Bukti – Lobak Merah
Anak tidak melaporkan kematian ibunya

Pada awal kematian ibunya yang bernama Graziella Dall’Oglio ini, anaknya tidak pernah melaporkan kematian ibunya secara rasmi, menjadikan tiada siapa yang tahu bahawa wanita ini sudah meninggal pada tahun 2022.
Suami wanita itu juga sebenarnya telah lama meninggal dunia, menjadikan anak tunggal mereka yang kini berusia 58 tahun itu tinggal seorang diri. Lelaki tersebut yang identitinya tidak didedahkan, difahamkan pernah bekerja sebagai seorang jururawat. Namun, kini sudah tidak lagi bekerja dan hanya duduk di rumah bersama ‘ibunya’.
Oleh sebab dia tidak melaporkan kematian ibunya, dia telah membiarkan dan menyimpan mayat ibunya selama 3 tahun. Dan selama 3 tahun itu juga, dia telah nikmati wang pencen yang sepatutnya diperolehi oleh ibunya dengan menyamar menjadi ibunya.
Konon nak ‘renew’ kad pengenalan

Pada 16 November, lelaki ini mula sedar yang kad pengenalan ibunya bakal tamat tempoh, dia pun hadir ke pejabat pendaftaran dengan menyamar sebagai ibunya semata-mata nak memperbaharui kad pengenalannya.
Namun pada waktu itulah pegawai pejabat mula menyedari perkara-perkara yang agak pelik bagi wanita yang sepatutnya berumur 85 tahun itu.
Menurut pegawai itu, ‘wanita’ itu datang dengan memakai sut lengkap dan skirt panjang, bibir disapu dengan gincu, kuku berhias dengan nail polish, leher dan tangan yang lengkap dengan barang kemas gaya lama sambil memakai rambut bob perang gelap yang sekali imbas saja memang nampak seperti wanita berumur.
Bila kita perhati betul-betul, lehernya agak besar dan kedutan di muka juga agak pelik. Kulit di tangannya tak nampak macam orang yang berusia 85 tahun pun. Mula-mula memang macam suara wanita, tapi ada juga dia akan terlepas suara garaunya. Paling pelik, dia ada lubang jambang di bawah foundation mukanya,” kata pegawai itu.
Pegawai mula rasa tak sedap hati

Walaupun rupa ‘wanita’ itu hampir sama dengan gambar pada kad pengenalan yang lama, tapi pegawai pejabat pendaftaran itu tetap rasa ada sesuatu yang tak kena.
Selepas selesai urusan bersama ‘wanita’ itu, pegawai tersebut terus melaporkan kes kecurigaan kepada pihak polis tempatan.
Jadi dari situlah pihak polis mula membuat siasatan dengan melihat rakaman kamera litar tertutup di mana mereka mendapati bahawa ‘wanita’ yang sepatutnya berumur 85 tahun itu boleh memandu kereta sendiri. Padahal Graziella sebenarnya tidak memiliki sebarang lesen memandu pun.
Kemudian, pihak polis pun mula menjalankan siasatan lain yang lebih lanjut melalui pangkalan data yang ada iaitu rekod perkhidmatan kesihatan, bilik kecemasan, lawatan pakar dan rekod keluarga. Namun, tiada satu pun rekod yang menunjukkan keberadaan wanita itu termasuklah anak lelakinya itu, seolah-olah mereka terasing daripada dunia luar.
Namun tak lama itu, pihak polis mendapati bahawa terdapat tandatangan wanita itu pada beberapa dokumen perancangan bandar yang tidak sepadan dengan tandatangan asal. Penyata cukai atas nama wanita itu juga menunjukkan yang duit tersebut tetap dihantar setiap tahun dan jumlahnya bukan sedikit iaitu sebanyak €53,000 yang bersamaan dengan sekitar RM260,000.
Paling mengejutkan juga adalah apabila hasil keterangan daripada penduduk sekeliling mengatakan yang tiada siapa pun pernah melihat wanita itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Polis pasang perangkap

Bila kad pengenalan dah siap dan perlu diambil, pihak polis pun atur perancangan untuk dapatkan ‘wanita’ itu datang semula ke pejabat.
Oleh kerana wanita itu kononnya tiada telefon bimbit, mereka pun hubungi anaknya. Anak itu menjelaskan yang dia akan membawa ibunya nanti ke pejabat tanpa mendedahkan yang dialah yang akan menyamar nanti.
Baik, saya akan sampaikan pada ibu saya. Saya akan cari cara untuk bawa dia nanti,” katanya pada pegawai pejabat pendaftaran.
Tapi apa yang dia tidak tahu adalah sesi lawatan dia ke pejabat pendaftaran kali ini dia telah dikepung oleh pegawai pejabat pendaftaran dan polis yang berpakaian biasa. Secara tidak langsung telah menyebabkan lelaki ini terpaksa mengaku segala tuduhan ekoran ada bukti yang menunjukkan dia memang menyamar sebagai ibunya yang sudah lama meninggal.
Penemuan mayat ibunya

Jadi disebabkan segala rahsia lelaki ini telah pun terbongkar, pihak polis pun mintak untuk menggeledah rumahnya untuk membuat siasatan lanjut dan lelaki ini pun turut bersetuju dengan tindakan berikut.
Di rumah itu, pihak polis telah menemui mayat mummified seorang wanita dalam sebuah beg tidur yang disembunyikan di bilik dobi rumah mereka. Mayat itu juga disyaki merupakan mayat kepada ibunya iaitu mayat Graziella
Jadi, apakah punca kematian?

Wanita itu berkemungkinan meninggal secara semula jadi, namun hasil bedah siasat nanti akan menjelaskan punca utama kepada kematian, menjadikan status kepada isu ini masih lagi menjadi tanda tanya orang ramai.
Mereka tidak mempunyai masalah kewangan pun sebab pihak polis menemukan beberapa hartanah atas nama kedua-dua nama mereka. Tapi kisah ni jelas menunjukkan kesunyian yang amat mendalam. Sangat, sangat menyedihkan bagi saya,” kata Francesco Aporti, Datuk Bandar Borgo Virgilio, Itali.
Kes ini juga masih lagi dalam siasatan, menjadikan motif di sebalik kes penipuan ini menjadi misteri untuk kita semua.
Selama tiga tahun itu jugalah rumah mereka menjadi saksi kepada penipuan yang dahsyat di mana seorang anak sanggup menyembunyikan mayat ibunya di sebalik salah satu bilik di rumahnya.
