Akibat meraba murid lelaki berusia sembilan tahun, seorang petugas aktiviti di zoo mini haiwan jinak atau petting zoo ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, insiden tersebut berlaku ketika murid berkenaan menyertai acara petting zoo yang diadakan di sebuah sekolah rendah di Sepang sempena Bulan Panitia Sains, pada 12 Mei lalu.
Memetik sumber Kosmo!, siasatan mendapati mangsa dicabul sebanyak tiga kali oleh suspek ketika berada di dalam sebuah bilik Sains di sekolahnya ketika acara tersebut.
Katanya, mangsa telah membayar wang sebanyak RM5 kepada suspek yang bertugas menjadi jurugambar ketika itu sebagai bayaran untuk mengambil gambar.
Menurutnya, suspek kemudian berdiri di sisi sebelah kiri mangsa dan memeluk daripada arah belakang sambil menyentuh kemaluan mangsa dari bahagian luar seluar.
“Mangsa cuba menepis tangan suspek namun suspek masih terus melakukan gangguan seksual terhadap mangsa. Selepas itu, suspek mengarahkan mangsa bergerak ke belakang dan sekali lagi buat perkara sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek turut buat perkara sama dekat murid lain
Polis juga memaklumkan, mangsa mendakwa suspek turut melakukan perbuatan tidak senonoh kepada murid lain.
Difahamkan, ibu bapa mangsa sudah membuat perjumpaan bersama pihak sekolah berhubung insiden tersebut pada hari kejadian sebelum membuat laporan polis.
Sementara itu, pihak sekolah pula mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan suspek memasuki kawasan sekolah untuk program lain selepas ini.
Baca: “Awak kena tahan malu”- Individu Menyamar Kawan Cikgu, Minta Gambar Bogel Pelajar