Alamak! Dalam keghairahan anda semua membeli belah semasa ‘Jualan Istimewa Merdeka’ ini, lebih baik anda periksa dahulu sama ada harga tersebut betul-betul murah atau ini semua wayang pusat membeli belah saja.
Menurut World of Buzz, seorang pelanggan sebuah pusat membeli belah di Seri Kembangan, Selangor membongkarkan taktik kotor mall ini apabila terperasan akan perbezaan harga yang ketara antara dua barang yang serupa. Kantoi!
Pusat membeli belah tersebut telah berselindung di sebalik kempen ‘Merdeka Sales’ untuk menaikkan penjualan cadar mereka.
Sebagai cara untuk menarik pelanggan membeli, mereka kononnya telah menurunkan harga cadar tersebut sebanyak 70 peratus tetapi dalam diam-diam sebenarnya sudah menaikkan sebanyak tiga kali ganda harga bagi sebuah cadar katil bujang!
Agak-agaklah wei nak menipu pun!
Ia difahamkan bahawa harga sebenar cadar tersebut hanya bernilai RM57.80 tetapi telah dinaikkan sebanyak RM289! Selepas menetapkan penurunan diskaun sebanyak 70 peratus, pelanggan akan membayar sebanyak RM86.70 tanpa mengetahui harga sebenar barangan tersebut. Haih tak boleh jadi ni. Harga diskaun lagi mahal dari harga sebenar!
Taktik penipuan ini mula terbongkar apabila salah seorang pelanggan menemui jenis cadar yang serupa dengan harga yang berbeza, dan dia telah terbeli cadar yang jauh lebih mahal harganya!
Oleh kerana rasa tertipu, pelanggan tersebut telah membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Susulan laporan itu, pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dan merampas barangan berkenaan yang bernilai RM13, 294 dari pusat membeli belah tersebut. Jika disabitkan bersalah, individu yang bertanggungjawab atas jenayah ini dan syarikat berkenaan akan dikenakan denda sebanyak RM10,000 dan RM25,000.
Pelanggan yang berasa tertipu atau teraniaya dengan penipuan harga barang ini digalakkan untuk melaporkan kes kepada KPDNKK untuk siasatan lanjut. Anda boleh saja membuat laporan melalui panggilan telefon (1800-886-800), laman web rasmi KPDNKK, emel (e-aduan@kpdnkk.gov.my) atau melalui laman Facebook.
Jadilah pengguna dan pelanggan yang bijak! Jangan biarkan diri anda tertipu dengan taktik kotor begini.
Baca: Netizen Dedah Kedai Baiki Kereta di Sungai Petani Tipu Pelanggan, Caj Harga Tidak Munasabah