in

PMX Tersenarai Sebagai Tokoh Muslim Ke-13 Paling Berpengaruh Di Dunia, Atasi Presiden Indonesia!

Ana 19

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Nama Malaysia sekali lagi menjadi perhatian di peringkat antarabangsa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menduduki tangga ke-13 dalam senarai 50 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia.

Pengiktirafan berprestij itu diumumkan menerusi buku The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2027 yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) yang berpangkalan di Jordan.


Senarai Pemimpin Paling Menonjol Di Asia Tenggara

Menerusi senarai yang dikeluarkan tersebut, Anwar berada tepat di belakang Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan yang menduduki tempat ke-12.

Lebih membanggakan, pencapaian ini turut meletakkan beliau di hadapan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang berada di kedudukan ke-16.

Kedudukan ini menjadikan PMX antara pemimpin Asia Tenggara yang paling menonjol dalam kelompok 50 teratas.

Raja Arab Saudi & Putera Mahkota Mendahului Senarai

Bagi kedudukan teratas pula, takhta pertama dimiliki oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.

Kelompok 10 teratas turut dihuni oleh pemimpin-pemimpin besar dunia Islam lain termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani; Raja Jordan, Raja Abdullah II; Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Sayyid Mojtaba Khamenei; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; serta Ketua Turus Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir.

Penilaian Berdasarkan Impak & Sumbangan Jangka Panjang

Untuk makluman, penerbitan edisi ke-18 ini menghimpunkan seramai 500 tokoh Muslim dari seluruh pelusuk dunia. 

Ia dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu 50 individu teratas yang disusun mengikut kedudukan ranking rasmi, manakala 450 tokoh lagi disenaraikan mengikut kategori pengaruh masing-masing.

Pihak RISSC turut menjelaskan bahawa penilaian pengaruh ini bukan dibuat secara rambang, sebaliknya mengambil kira gabungan pelbagai aspek penting termasuk impak sosial, pandangan masyarakat, penilaian pakar serta sumbangan jangka panjang individu berkenaan terhadap umat Islam dan dunia.

Sebanyak 13 kategori utama dinilai dalam penerbitan ini merangkumi bidang kepimpinan politik, pentadbiran hal ehwal agama, ilmuwan, pendakwah dan pembimbing spiritual, kebajikan, isu sosial, perniagaan, sains dan teknologi, seni dan budaya serta media.

Tahniah PMX! Semoga pengiktirafan ini terus menaikkan lagi nama Malaysia di mata dunia.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.