Walaupun kedengaran menakutkan, insiden haiwan liar memasuki kawasan perumahan atau rumah mana-mana individu bukanlah sesuatu berita yang sangat jarang didengari. Malah, ada juga kes dimana babi hutan masuk ke dalam sebuah pusat membeli-belah.
Di sebuah bandar di Poland juga tidak terkecuali daripada mengalami insiden seperti ini. Cuma ‘haiwan liar’ yang ditakuti penduduk di sini agak lain daripada yang lain.
Segalanya bermula apabila pegawai di Krakow Animal Welfare Society menerima satu panggilan mengenai seekor haiwan aneh yang bertenggek pada sebatang pokok di bandar Krakow, Poland selama lebih dari satu hari.
Lapor BBC, haiwan yang tidak dapat dikenal pasti itu telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat. Malah, ada yang tidak mahu membuka tingkap rumah kerana bimbang ia akan masuk ke dalam kediaman masing-masing.
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja pasukan dari pusat kebajikan haiwan itu tiba, mereka mendapati ‘haiwan’ yang dikatakan itu bukanlah burung pemangsa seperti yang disangkakan, ataupun sejenis iguana seperti yang didakwa pemanggil, tetapi hanyalah sejenis pastri yang dikenali sebagai croissant.
https://www.facebook.com/Krakowskie.Towarzystwo.Opieki.nad.Zwierzetami/posts/4691666100848852
Menulis di laman sosial Facebook, pegawai di pusat kebajikan haiwan itu berkata, mereka sudah mengesyaki ada yang tidak kena kerana ia sukar untuk haiwan seperti reptilia untuk hidup ketika cuaca sejuk semasa musim bunga di selatan Poland.
“Kami menyangka ia mungkin haiwan peliharaan yang dibuang,” kata mereka.
Pun begitu, hasil siasatan mereka mendapati croissant itu mungkin dibuang keluar melalui tingkap rumah di kawasan itu untuk dijadikan makanan burung.
Meskipun begitu, pusat kebajikan haiwan terbabit dilaporkan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap laporan itu malah menegaskan tindakan individu yang melaporkannya adalah betul. Mereka juga memberi amaran kepada orang ramai agar terus berhati-hati dan melaporkan hal-hal mengenai kebajikan haiwan.
Sumber: BBC