Jika anda sering memandu berseorangan pada waktu malam di jalan raya yang terpencil, sudah tentu akan rasa seperti diperhatikan. Lagi-lagi kalau orang kata tempat tu memang keras.
Itulah yang berlaku di Bandung Barat, Indonesia apabila pengguna jalan raya di kawasan itu kecoh mengatakan mereka ternampak ada penampakan makhluk halus bewarna putih iaitu pocong di tepi Jalan Kolonel Masturi baru-baru ini.
Difahamkan, pengguna jalan raya di situ mendakwa pocong tersebut berdiri di bawah pokok di tepi jalan dan kehadirannya itu telah mengejutkan penduduk setempat.
Namun, menurut Kompas.com, disebabkan kekecohan telah berlaku, pihak polis Indonesia telah menyiasat kejadian berkenaan dan hasil siasatan mendapati pocong itu hanyalah patung yang sengaja digantung di sebuah tiang di situ.
Patung pocong itu diperbuat daripada kotak dan guni dan telah diikat dengan tali.
Patung hantu berkenaan kemudiannya telah diturunkan oleh pihak polis agar tidak lagi mengganggu pengguna jalan raya. Ini kerana ia boleh menyebabkan kemalangan jika ada pemandu yang terkejut dengan sosok ‘pocong’ terbabit.
Namun, setakat ini, siapa si pelaku dan apa motif individu berkenaan membuat perkara ini masih lagi tidak dapat dikenal pasti.
Tak baik betul buat prank macam ni. Kalau ada pemandu atau penunggang motosikal yang kemalangan gara-gara nampak ‘pocong’ ni, macam mana?
Sumber: Kompas.com
Baca: Terowong LRT Laluan Kelana Jaya Dibina Bawah Kubur, Ini Misteri Yang Pernah Berlaku