Tragedi nahas helikopter di Ulu Baram, Sarawak yang mengorbankan lima nyawa baru-baru ini terus meragut emosi seluruh rakyat Malaysia.
Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi satu video menunjukkan beliau menghubungi sendiri bapa kepada juruterbang helikopter berkenaan, Allahyarham Kapten Zainol Afiq.
Menerusi hantaran di media sosialnya, PMX menyampaikan salam takziah bagi pihak beliau, Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta seluruh keluarga kepada ayahanda arwah, Bee Sham Ahmad.
Artikel berkaitan: “Meninggal dalam misi selamatkan nyawa” – PU Amin Turut Berduka, Anggap Mangsa Nahas Helikopter Mati Syahid
Artikel berkaitan: “Tiada sebab untuk hentikan” – KKM Teruskan Flying Doctor Service
View on Threads
Teringat Kenangan Menerbangkan Helikopter Masa Kempen PRU15
Apa yang lebih menyentuh hati, Anwar turut mengimbau kenangan peribadi bersama Allahyarham sewaktu tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu di mana arwah bertindak sebagai juruterbang yang membawanya.
“Tatkala menghimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU15 lalu menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam.
Teruji dengan kehilangan amat berat, lebih-lebih lagi buat keluarga dan anak-anak yang jauh masih kecil,” luahnya.
Kerajaan MADANI Jamin Hulur Bantuan
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan memastikan segala keperluan dan kebajikan keluarga arwah Kapten Zainol serta mangsa-mangsa yang lain akan dibantu dengan sewajarnya.
“Lantaran itu, Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain didukung dan diberi pembelaan sewajarnya.
Semoga Allah SWT mengasihani mereka, mengampun segala dosa mereka, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan para syuhada. Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara,” tambahnya lagi.
Perkongsian video berkenaan dibanjiri doa daripada netizen yang turut bersedih dengan ujian berat yang menimpa keluarga kesemua petugas perubatan serta juruterbang berkenaan.
Sumeber: Threads
