Kecoh di media sosial mengenai penemuan rangka yang dipercayai mayat warga emas ditemui atas tilam di sebuah pangsapuri di Kepong, Kuala Lumpur sejak semalam.
Mayat seorang lelaki warga emas itu ditemukan dalam keadaan cukup menghibakan apabila hanya tinggal tengkorak dan rangka.
Memetik sumber Majoriti, jurucakap Balai Polis Kepong mengesahkan kejadian itu, memaklumkan mayat warga emas berkenaan dipercayai mereput sejak empat tahun lalu ditemui oleh anaknya.
“Ya memang ada kes (jumpa mayat reput dalam rumah). Anak mangsa membuat laporan polis pada petang Isnin.
“Maklumat lanjut akan kami kongsikan dalam masa terdekat,” katanya.
Artikel berkaitan: Tinggal Sendirian, Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Bersama Bangkai Kucing Di Sampingnya
Artikel berkaitan: Bertahun-tahun Tak Balik Rumah, Suami Terkejut Isteri & Anak Hanya Tinggal Rangka
Komuniti tak sedar, tak ada bau busuk
Sementara itu, menerusi maklumat awal yang dikongsikan di media sosial, mangsa tinggal seorang diri di pangsapuri berkenaan.
Katanya, mangsa seorang lelaki berusia umur lingkungan 60-an dan tinggal seorang diri dipercayai kerana sudah bercerai.
Mangsa juga mengajar anak-anak mengaji di kuarters berkenaan dan tiada seorang pun mengetahui mangsa telah meninggal di dalam rumah itu sendirian sejak empat tahun lalu.
“Komuniti pun tak sedar, mangsa pernah maklum dengan orang surau yang hajat nak balik ke kampung, dengan makluman tersebut rakan dan orang surau beranggapan arwah berehat panjang di kampung halaman,” tulis individu itu.
Tambahnya lagi, ketika penemuan rangka itu, ramai yang terkejut kerana tiada sesiapa pun yang mengetahui dan mendakwa tiada bau busuk di kawasan itu.
Setakat artikel ini ditulis, tiada sebarang maklumat lanjut mengenai kematian mangsa.