Awal bulan ini, kecoh di media sosial apabila seorang pemain bola sepak amatur bertindak ganas dan membawa senjata tajam berupa kerambit dalam satu perlawanan.
Terbaru, polis mengesahkan pemain bola sepak amatur tersebut juga adalah suspek yang membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Mei lalu.
Artikel berkaitan: Kes Bawa Kerambit Masuk Padang Bola, Suspek Ditahan Bersama Kekasih
Artikel berkaitan: “Menang dapat RM 2 juta ke?” – Tular Gambar Pergaduhan Di Padang Bola, Siap Bawa Kerambit!
Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 22 tahun itu akan dituduh atas kedua-dua kesalahan itu di Mahkamah Kuala Lumpur esok.
“Dia ini ada ‘wanted’ (dalam senarai dikehendaki) satu kes, kes baling molotov cocktail di depan pusat hiburan, inilah orangnya.
(Suspek) ini pun akan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, suspek orang sama,” katanya.
Menurut Rusdi, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan polis mengenal pasti suspek terlibat dalam kedua-dua kes berdasarkan siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta proses pengecaman.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi kes mengacukan objek tajam, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 serta pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri orang lain.
Sumber: Buletin TV3