Pasport Malaysia Antarabangsa dengan tempoh sah laku 10 tahun diteruskan seperti biasa dan tidak pernah dihentikan.
Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menjelaskan bahawa hanya pasport yang ada tambahan tempoh lebih 10 tahun dihentikan seketika kerana masalah pada sistem syarikat penerbangan.
Artikel berkaitan : Imigresen Henti Serta-merta Pasport Tempoh Sah Lebih 10 Tahun, Ini Sebabnya
Artikel berkaitan : Pasport Malaysia Antarabangsa Baharu Dengan Tempoh Sah Laku 10 Tahun Mula Dilaksanakan
Menurutnya lagi, tambahan tempoh hingga 6 bulan sebelum ini diberikan kepada pemohon yang masih mempunyai baki tempoh sah laku pasport lama melebihi 6 bulan ketika membuat pembaharuan.
“Yang kita hentikan ialah tambahan tempoh melebihi 10 tahun itu. Maksudnya di sini, ada pembaharuan pasport yang untuk 10 tahun kita bagi extra enam bulan.”
“Kita mengambil kira baki pasport mereka yang sebelum dia tukar itu melebihi enam bulan. Jadi supaya tidak merugikan rakyat Malaysia yang ada baki banyak lagi itu, kita bagilah extra enam bulan.”

Namun begitu, pemberian tambahan tempoh berkenaan telah menimbulkan kesulitan apabila sistem yang digunakan syarikat penerbangan tidak menyokong tempoh sah yang melebihi 10 tahun pada pasport tersebut.
“Niat kita baik untuk membantu rakyat Malaysia, tetapi perkara ini menimbulkan kesulitan kerana sistem yang diguna pakai oleh pihak syarikat penerbangan tidak support kepada tempoh pasport yang melebihi daripada 10 tahun.”
Katanya lagi, JIM mengambil tindakan dengan menawarkan penggantian secara percuma kepada pemegang pasport yang sudah dikeluarkan dengan tempoh sah laku 10 tahun 6 bulan.
Tambahnya lagi, bagi pemegang pasport yang dikeluarkan dengan tempoh sah lakunya genap 10 tahun, mereka tidak akan ada sebarang masalah untuk melakukan perjalanan.
Penjelasan tersebut sekali gus telah menolak kekeliruan bahawa pasport Malaysia dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun tidak diterima negara asing, sebaliknya isu berkenaan berpunca daripada ketidakserasian sistem syarikat penerbangan dengan tempoh sah laku pasport yang melebihi 10 tahun.
Sumber : Buletin TV3
