Hari ini, kes faraid balu Abam Bocey, Hidayah dan keluarga mentuanya akhirnya selesai. Menurut laporan, Hidayah yang membuat tuntutan faraid tersebut pada 15 Julai lepas berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang telah menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak membabitkan kereta, rumah, wang ringgit dan barangan peribadi seperti jam tangan, kasut, telefon bimbit, kamera dan barangan lain peninggalan arwah.
“Alhamdulillah, selesai urusan faraid. Pihak sana pun akan dapat bahagian mengikut hukum syarak. Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah. Selepas ini doakan saja yang terbaik buat saya dan anak.”
“Walaupun pihak sana tak hadir, tapi tidak mengganggu proses mahkamah sebab bahagian sudah dibahagikan. Apa saja yang ditinggalkan arwah seperti rumah, kereta, semua wang, jam tangan, kasut, kamera, telefon bimbit dan barang lain difaraidkan.”
Saya dan keluarga tak pernah halang proses – Ali Puteh
Ali Puteh dikhabarkan menerima keputusan mahkamah dan lega isu ini akhirnya selesai. Menurut mStar, Ali menafikan dia dan keluarga menghalang proses faraid seperti didakwa segelintir pihak. Sebaliknya mereka sekeluarga sentiasa bersetuju dengan pembahagian itu mengikut kaedah yang betul.
Memang saya tahu, orang cakap saya macam itu yang saya dan keluarga saya cuba menghalang proses tersebut. Orang anggap saya yang salah.”
Sedangkan masa sidang media yang saya pernah adakan beberapa kali sebelum ini pun dah cakap memang kena faraid ikut hukum Islam. Sebab itu yang sepatutnya.”
Tak dapat hadir ke mahkamah
Menurutnya pelawak berusia 32 tahun itu lagi, dia dan ibunya tidak dapat hadir ke prosiding pada pagi tadi disebabkan beberapa kekangan masing-masing.
“Saya tak hadir sebab bawa isteri pergi pemeriksaan doktor. Dia kan nak bersalin dan lagipun prosiding itu tiada kaitan dengan saya.”
“Ibu saya pulak kan pakai kerusi roda..Macam mana nak datang. Bagi saya, itu yang paling terbaik bila dah jadi begini. Baguslah, benda itu (harta peninggalan Abam) memang perlu difaraidkan.”
Moga tiada lagi persengketaan…