Apa guna melancong di seluruh dunia tetapi dalam masa yang sama menagih simpati orang tempatan untuk menampung perbelanjaan melancong.
Segelintir pengembara warga asing atau backpackers ini masih lagi mengamalkan tindakan yang kurang disenangi orang tempatan.
Tular beberapa foto dua warganegara asing dipercayai dari Rusia yang ‘mengemis’ memohon bantuan berbentuk kewangan bagi menampung perbelanjaan mereka melancong.
Menerusi foto yang dikongsikan oleh pengguna Facebook Munie Man, dua pelancong Rusia itu dilihat sedang memegang kadbod sambil berdiri di tengah jalan di simpang lampu isyarat.
“Hi, kami adalah pelancong Rusia yang mengembara tanpa membawa wang, tolong sokong pengembaraan kami. Terima kasih,” tulisnya.
Tidak pasti di mana kejadian itu berlaku, namun berdasarkan hantaran itu difahamkan situasi tersebut berlaku di Sarawak.
Rata-rata netizen yang melihat hantaran itu memberi reaksi negatif terhadap tindakan dua pelancong terbabit. Ramai menganggap perbuatan mereka mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah rakyat Malaysia.
Malah, netizen juga mendakwa dua pelancong itu telah melakukan kegiatan itu di sekitar Sarawak seperti di Bintulu, Miri dan Kuching.
Ramai juga berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat bertindak segera supaya aktiviti tidak sihat seperti ini dapat dikekang sebelum ianya menjadi lebih parah.
Sebenarnya, situasi ini bukanlah perkara baharu yang berlaku di Malaysia. Namun, orang ramai diingatkan berpadalah dalam bersimpati kerana sifat pemurah tak bertempat juga boleh membawa keburukan.