Keluarga empat daripada enam pendaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan ekspedisi di laluan Gunung Trans Gerah (Trans GBB), Gua Musang, Kelantan, meluahkan kebimbangan apabila sehingga kini mereka masih belum ditemui.
Wan Zairudin Wan Ismail, 66, merasakan mungkin ada yang cedera yang menyebabkan anak, menantu dan dua cucunya gagal keluar dari hutan.
“Mereka juga sudah kehabisan makanan sebab bekalan dibawa hanya cukup untuk enam atau tujuh hari pendakian saja, tetapi kini sudah melepasi 10 hari,” kata Wan Zairudin.
Katanya, anak, menantu dan dua cucunya sepatutnya keluar dari hutan pada Khamis lalu sebelum pulang ke Yong Peng. Bagaimanapun, mereka gagal muncul seperti yang dijadualkan.
Kali terakhir menantunya menghantar mesej kepada isterinya adalah pada 1 September lalu, memaklumkan mereka sekeluarga berada dalam keadaan sihat. Namun selepas itu, tiada lagi berita diterima.
Keluarga itu dikenal pasti sebagai Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, serta dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9.
Dua malim gunung yang turut bersama kumpulan berkenaan ialah Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 44, masing-masing berasal dari Kuala Krai.
Artikel berkaitan: “Patutnya keluar 3 September” – Budak 9 Tahun Antara 6 Individu Hilang Ketika Daki Gunung Trans Gerah
Artikel berkaitan: “Nyawa orang jangan dibuat main” – Netizen Luah Rasa Sedih Tragedi Pendaki Hilang Ditemui M*ut Di Gunung Liang

Wan Zairudin kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam, selepas gagal menghubungi mereka.
Menurutnya, anak dan menantunya memang kerap membawa dua anak mereka mendaki gunung. Sebelum ini, mereka biasanya hanya lewat keluar dari hutan sehari daripada jadual ditetapkan.
Wan Zairudin berkata, mengikut jadual asal, mereka sepatutnya pulang dari Gerik atau Kuala Kangsar sebelum kembali ke Yong Peng. Dua cucunya juga perlu kembali ke sekolah selepas cuti persekolahan berakhir.
Susulan laporan kehilangan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.
Difahamkan, anaknya memilih laluan Trans GBB yang belum pernah dilaluinya sebelum ini sebagai sebahagian daripada siri pendakian di negara ini. Anaknya turut merancang untuk membawa keluarga mendaki Gunung Kinabalu tahun depan.
“Saya bimbang ada yang cedera, mungkin kaki terseliuh hingga tidak boleh bergerak. Jika tiada bantuan luar, usaha mereka untuk keluar dari hutan itu adalah sukar,” katanya.
Sumber: Berita Harian
