Selepas tularnya berita mengenai penangkapan individu suami isteri yang terlibat dalam sindiket Macau Scam di Malaysia, kini tular pula berita mengenai seorang wanita yang rugi angkara sindiket ini.
Wanita yang berusia 49 tahun itu yang merupakan seorang guru dikatakan mengalami kerugian sebanyak RM1.1 juta selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam.
Wow banyak tu!
Panggilan telefon daripada individu tak dikenali, menyamar sebagai polis
Laporan polis telah dibuat pada 5 Oktober oleh wanita berkenaan. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mengaku sebagai pegawai polis.
Individu berkenaan juga memberitahu kononnya kereta mangsa terbabit dalam kemalangan maut dan kegiatan haram.
Jahat betul!
Kronologi penipuan
Mangsa diarahkan untuk membuka dua akaun bank miliknya dan memasukkan nombor telefon diberi suspek sebagai nombor telefon pemilik akaun.
Setelah akaun simpanan dibuka, mangsa telah memindahkan wang simpanan miliknya ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek kononnya bagi tujuan siasatan.
Mangsa juga diarahkan untuk menyediakan wang jaminan. Hal ini menyebabkan mangsa telah membuat pinjaman peribadi di beberapa buah bank dan memasukkan wang itu ke dalam akaun yang diberikan suspek.
Mangsa yang menyedari telah ditipu telah membuat laporan polis.
Menggunakan teknik ‘spoofing’
Mohd Zaid berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti suspek.
Beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket Macau Scam ini dan tidak terpedaya dengan tipu helah mereka yang menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai kastam dan sebagainya.
Nombor telefon yang digunakan suspek memang dari agensi berkaitan tetapi sindiket menggunakan teknik ‘spoofing’ untuk perdayakan mangsa
Bagi yang tidak tahu, teknik ‘spoofing’ merupakan teknik yang digunakan ‘scammers’ dengan cara mengakses sistem maya secara haram (hack) sama ada melalui komputer, telefon bimbit, email serta akaun lain.
Mereka akan berpura-pura bahawa dia adalah pemilik yang asli akaun berkenaan. Tujuan melakukan ‘spoofing’ adalah untuk mendapatkan informasi sulit sama ada dari individu atau organisasi.
Apa-apapun jadikan ni sebagai pengajaran supaya tak lagi terpedaya dengan panggilan dari individu tak dikenali. Cepat-cepat buat report polis kalau dapat panggilan yang meragukan.