Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diumumkan sebagai Menteri Pengiring kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sempena lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada 26 Oktober ini.
Saifuddin mengesahkan perkara itu dan menjelaskan pelantikan tersebut dibuat oleh Bahagian Protokol Kementerian Luar Negeri.
Katanya, pelantikan menteri pengiring adalah amalan biasa bagi setiap kunjungan rasmi pemimpin luar ke Malaysia.
“Saya dilantik sebagai menteri pengiring kepada Trump oleh Bahagian Protokol Wisma Putra.
“Tanggungjawab saya adalah untuk mengiringinya sepanjang berada di negara ini, termasuk menghadiri pelbagai acara yang telah dijadualkan,” katanya, lapor Berita Harian.
Artikel berkaitan: Konflik 2 Tahun Bakal Tamat, Trump Umum Israel & H*mas Sepakat Fasa Pertama Pelan Damai G*za
Artikel berkaitan: Trump Tidak Akan Desak Gencatan Senjata Dalam Perang Ukraine-Rusia, Mahu Perjanjian Damai

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjurannya.
Beberapa pemimpin dunia ternama dijangka hadir, termasuk Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva; dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.
Kehadiran mereka menandakan peningkatan minat global terhadap ASEAN sebagai blok ekonomi dan diplomatik yang semakin berpengaruh di rantau Indo-Pasifik.
Selain itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut dijadual menghadiri sidang tersebut bagi memperkukuh hubungan strategik antara Washington dan negara-negara Asia Tenggara.
Menurut laporan The Edge dan New Straits Times, kehadiran Trump merupakan keputusan kolektif negara anggota ASEAN, bukan atas undangan unilateral Malaysia.