in

Mengapa Penganut Hindu Merayakan Hari Thaipusam? Jom Ketahui Sejarahnya!

Hari Thaipusam

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Hari ini, penganut Hindu di negara kita sedang merayakan satu perayaan yang turut dikenali sebagai Hari Thaipusam. Walaupun perayaan ini disambut setiap tahun, ramai antara kita yang tidak tahu akan sejarah dan tujuan perayaan ini diadakan.

Thaipusam selalunya diraikan pada kemuncak bulan kesepuluh kalendar Tamil iaitu bulan Thai, yang jatuh pada sekitar bulan Januari dan Februari.


Pada hari ini, bulan penuh Thai berada pada kedudukan melintasi bintang yang dikenali dengan nama Pusam. Ini juga adalah asal-usul nama Thaipusam.

Apa yang berlaku ketika Hari Thaipusam?

Hari Thaipusam
Kredit gambar: the star

Ketika perayaan ini diadakan, penganut agama Hindu akan menunaikan nazar untuk menebus dosa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Mereka akan membayar nazar melalui banyak cara, bermula dengan amalan berpuasa selama 48 hari.

Biasanya, individu yang mempunyai hajat tertentu, seperti ingin dikurniakan cahaya mata, ingin berjaya dalam pelajaran dan sebagainya akan melakukan nazar. Sekiranya nazar ini dikabulkan, satu acara akan diadakan sebagai tanda kesyukuran.

Semua orang boleh turut serta dan merayakan Thaipusam tanpa mengira usia. Lelaki yang beragama Hindu akan mencukur rambut dan mewarnakannya dengan kunyit.

Selalunya, perkhidmatan menggunting rambut ini akan disediakan di luar kuil dengan bayaran tertentu.

Amalan ini dilakukan dengan tujuan untuk membayar nazar atau melupakan satu peristiwa pahit pada masa lampau. Ada juga yang melakukannya untuk berhajat supaya hari yang lebih baik bakal datang pada masa hadapan.

Pada Hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa susu dalam belanga. Susu ini diisi dalam belanga tembikar atau aluminium dan akan dijunjung atas kepala dari luar hinggalah ke dalam kuil.

Mereka juga akan menjunjung kavadi di atas bahu atau kepala. Di atas kavadi, terdapat patung Dewa Murugan dalam pelbagai saiz dan bentuk serta dihias dengan pelbagai jenis bunga-bungaan dan bulu burung merak. Berat dan saiz kavadi pula bergantung kepada kemampuan seseorang.

Hampir 10,000 orang akan melawat Batu Caves

Hari Thaipusam

Setiap tahun, hampir 10,000 orang akan melawat Batu Caves sempena Thaipusam. Pada malam sebelumnya, mereka akan berkumpul di Kuil Sri Mahamariaman dan berjalan sejauh 15 kilometer (8 jam) ke Batu Caves.

Perjalanan ini dimulakan sekitar pukul 12 tengah malam. Perarakan ini akan sampai di Batu Caves pada keesokan paginya.

Pada waktu inilah, penganut Hindu akan melakukan pelbagai cara ‘menyeksa diri’ sebagai tanda memohon ampun. Ada yang berjalan atas kasut berpaku, menucucuk panah besi pada lidah dan pipi atau mencucuk belakang badan dengan mata pancing.

Namun, pembayar nazar ini dikatakan berada dalam keadaan separuh sedar atau ‘trance’. Ada juga yang percaya bahawa mereka telah diberi kuasa oleh dewa. Namun, mereka yang menyertai perarakan ini selalunya telah mengamalkan diet yang ketat serta berpuasa untuk sebagai persediaan.

Agama Hindu dibawa dari India oleh buruh ladang pada zaman penjajahan British. Pada waktu itu, Thaipusam disambut di ladang dan kuli Hindu yang dibina dengan pembiayaan beberapa orang penganut Hindu yang berkemampuan.

Sumber: UTM 

BACA: ‘Ini bukan Deepavali’ Tegur Individu Menari Sambil Buat Ucapan, Wanita India Perjelas Maksud Sebenar Thaipusam

Ft Wanita Tegur Individu Menari Lagu Thaipusam

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.