Aplikasi panggilan video seperti Zoom dan Google Meet banyak digunakan masyarakat dunia sebagai sebahagian daripada norma baharu kehidupan semasa pandemik COVID-19.
Mungkin ada di antara anda yang sudah penat dan tak lalu nak menghadap meeting atau discussion melalui dunia digital tetapi bagi chimpanzee di dua buah zoo di Czech Republic, mereka baru saja mahu menikmati gaya hidup baru atas talian ini.
Memetik laporan The Guardian, disebabkan kekurangan interaksi dengan pengunjung susulan penutupan zoo pada Disember untuk mengekang wabak COVID-19, pihak Safari Park Dvur Kralove dan Zoo Brno telah memasang skrin besar bagi membolehkan chimpanzee di zoo mereka berinteraksi sesama sendiri menerusi panggilan video.
Menurut penjaga chimpanzee di Dvur Kralove, Gabriela Linhartova, kumpulan chimpanzee itu pada mulanya ragu-ragu dengan skrin tersebut.
“Pada mulanya, mereka menghampiri skrin dengan berhati-hati, malah ada juga yang seolah-olah mencabar chimpanzee dalam skrin,” kata Gabriela.
Namun begitu, chimpanzee-chimpanze itu sudah boleh menerima skrin berkenaan dan menganggap ia seperti tayangan filem.
“Apabila chimpanzee-chimpanzee itu melihat situasi yang tegang, mereka akan memberi reaksi sama seperti manusia yang menonton pertandingan bola sepak,” katanya lagi.
Selain itu, kumpulan chimpanzee terbabit turut mula menunjukkan perwatakan seperti manusia. Contohnya, mereka akan mengambil snek seperti kacang untuk makan bersama semasa sedang menonton skrin besar itu.
Difahamkan, panggilan video terbabit dijalankan setiap hari dari pukul 8 pagi sehingga 4 petang. Panggilan yang akan dilakukan sehingga penghujung Mac itu bagaimanapun sedang dalam perbincangan pihak penjaga chimpanzee sama ada akan diteruskan atau tidak.
Panggilan video sama juga turut disiarkan di laman web safari park berkenaan.
Sumber: The Guardian