in

#LobakMerahTOP5: Rangkuman Kisah Paling Viral & Sensasi Minggu Ini, Korang Dah Baca Belum?

Collage 11

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Setiap hari mesti ada je kan cerita-cerita viral yang berlaku di Malaysia sampai kadang-kadang susah betul nak kita nak ikuti semua. Tapi pada masa yang sama kita pun tak naklah terlepas isu-isu semasa yang tengah berlaku sekarang ni kan?


Jadi macam biasa, #LobakMerahTop5 akan senaraikan berita-berita hangat, sensasi dan viral yang berlaku pada minggu ini supaya korang sentiasa up-to-date dengan isu semasa yang berlaku di Malaysia sekarang.

1. Kes Faisal Halim disimbah asid

Sg

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita Faisal Halim cedera disimbah asid pada Ahad lepas (5 Mei). Gambar Faisal selepas serangan tersebut telah tular di media sosial dan dapat dilihat baju yang dipakainya ketika hari kejadian juga turut cair.

Faisal telah dibawa ke sebuah hospital swasta untuk dirawat dan telah pun menjalani tiga pembedahan selepas dia disahkan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya dan berada dalam keadaan kritikal.

Susulan dari ini, Selangor FC telah pun menarik diri dari menyertai Piala Sumbangsih yang sepatutnya dijadualkan berlangsung hari ini. Selepas Selangor FC menarik diri, perlawanan tersebut telah pun dibatalkan menjadikan JDT mendapat kemenangan secara percuma.

Menurut perkembangan terbaru, selepas menjalani pembedahan ketiga yang berlangsung semalam, pemain negara Faisal Halim kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mempamerkan tanda ceria dan dikatakan sudah mula boleh berjalan sendiri walaupun pergerakannya agak terbatas.

Artikel berkaitan: “Berkait ke?” – Ini Kronologi Kes Tiga Pemain Bola Sepak Diserang

2. Perkahwinan Mahalini dan Rizky Fabian dipersoal gara-gara perbezaan agama

553

Berita perkahwinan antara penyanyi terkenal Indonesia, Rizky Febian dan Mahalini Raharja tular di media sosial selepas video kedua-duanya diraikan dalam satu majlis mengikut adat Bali.

Ada yang beranggapan bahawa kedua-dua penyanyi ini sudah bernikah dan perkara itu menjadi bualan hangat netizen kerana mereka berbeza agama.

Bagaimanapun, bapa Rizky, Sule menegaskan berita tentang anaknya sudah bernikah di Bali adalah tidak benar dan turut mengesahkan bahawa bakal menantunya itu bakal memeluk Islam sebelum bernikah.

Mahalini dan Rizky telah pun selamat diijabkabulkan dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di Jakarta.

Artikel berkaitan: Mahalini – Rizky Febian Kahwin, Majelis Ulama Indonesia Anggap Pernikahan Tidak Sah Sebab…

3. Thailand haramkan perkahwinan bawah umur lepas lelaki Malaysia kahwini kanak-kanak 11 tahun

553 1

Thailand kini telah menguatkuasakan undang-undang untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur 17 tahun selepas ada kes seorang lelaki dari Malaysia bernikah dengan kanak-kanak perempuan usia 11 tahun di Sungai Golok pada 2018 yang lalu.

Menurut Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, berkata peraturan itu sudah dikuatkuasakan pada tahun sama iaitu 2018 selepas isu perkahwinan lelaki berusia 41 tahun itu mencetuskan kontroversi.

Disebabkan kes tersebut menjadi kontroversi, beliau menjelaskan bahawa pihak berkuasa Thailand telah mengarahkan pasangan itu menjalani perpisahan secara ‘mufarqah’

Menurut sumber lagi, peraturan pengharaman nikah bawah 17 tahun ini juga telah diumumkan oleh Pusat Komuniti Islam Thailand di semua masjid negara itu, termasuklah di selatan Thailand.

Artikel berkaitan: Thailand Haramkan Pernikahan Bawah 17 Tahun Lepas Kes Lelaki Malaysia Kahwin Kanak-Kanak 11 Tahun

4. Restoran di Jepun dakwa ditipu ejen pelancongan dari Malaysia

441464593 8389364971091338 795415616267747444 N

Seorang pekerja restoran di Tokyo, Jepun baru-baru ini mendakwa mereka terpaksa membuang 25 set nasi lemak gara-gara ejen pelancongan dari Malaysia membatalkan tempahan tanpa memaklumkan kepada mereka.

Insiden itu didedahkan oleh pekerja bernama Sou Tanaka menerusi satu hantaran di laman Facebook. Katanya, ejen pelancongan itu tidak menelefon semula restoran untuk membatalkan tempahan.

Disebabkan itu, restoran terbabit terpaksa membuang begitu sahaja set nasi lemak untuk 25 orang setelah menunggu lama tanpa sebarang khabar berita.

Ekoran ini, ejen pelancongan terbabit tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian itu. Jelas pihaknya, mereka menelefon restoran itu untuk melakukan survey kerana membawa trip yang disertai 90 peratus warga emas.

Namun begitu, menurutnya dia tidak mengesahkan kehadiran dan hanya akan memaklumkan sekiranya mereka jadi ke sana. Kumpulan tersebut kemudiannya membuat keputusan untuk makan di tempat lain atas alasan faktor sekeliling.

Artikel berkaitan: “5 set nasi lemak terpaksa dibuang” – Restoran Di Jepun Dakwa Kena Tipu, Ejen Dari Malaysia Beri Penjelasan

5. Darsa Fried Chicken minta maaf tentang komen ‘Type-C’

Ramai Baru Tahu Maksud Komen Type C Malah Pertikai Permohonan Maaf Darsa Fried Chicken

Kecoh di media sosial baru-baru ini, tentang komen daripada sebuah jenama restoran makanan segera tempatan yang dikatakan cuba menyentuh isu perkauman. Difahamkan, restoran tersebut baru sahaja membuka cawangan pertamanya pada hujung bulan April yang lalu.

Sebelum ini, restoran tempatan itu telah mendapat kecaman netizen disebabkan komen balas oleh admin Facebook rasmi restoran berkenaan yang menulis perkataan ‘type C’ yang dipercayai merujuk kepada kaum Cina di Malaysia.

Dalam satu kenyataan di Facebook rasmi restoran berkenaan, pihak mereka memohon maaf atas kesilapan komen yang telah mengguris hati rakyat Malaysia.

Menurut mereka, mungkin terlalu banyak komen yang ada unsur menjatuhkan sehingga mengganggu fokus admin Facebook tersebut.

Dalam pada itu, pihak restoran turut mengalu-alukan kehadiran para pelanggan tidak kira bangsa mahupun agama.

Artikel berkaitan: Tular Sebab Komen ‘Type C’, Restoran Makanan Segera Tempatan Mohon Maaf

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.