in

“Berkait ke?” – Ini Kronologi Kes Tiga Pemain Bola Sepak Diserang

Collage 7

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sejak beberapa hari lalu, bola sepak negara telah mendapat perhatian ramai apabila berlakunya beberapa tragedi ke atas pemain-pemainnya.


Perkara ini bermula apabila seorang pemain pasukan Terengganu FC, Akhyar Rashid telah diserang dan disamun oleh dua individu yang tak dikenali pada Khamis lalu (2 Mei). Kemudian, Malaysia dikejutkan dengan serangan yang berlaku kepada pemain Selangor FC, Faisal Halim yang telah disimbah asid di sebuah pasar raya di Kota Damansara. Semalam pula, cermin kereta Safiq Rahim telah dipecahkan oleh individu yang tak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim.

Ekoran ini, ramai yang mula risau dengan keselamatan pemain-pemain bola sepak negara ini dan ada juga yang membuat spekulasi bahawa tragedi-tragedi ini mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Dekat bawah ni, korang boleh tengok sendiri kronologi penuh yang menimpa ketiga-tiga pemain bola sepak ini.

Artikel berkaitan: “Amat amat positif” – Faisal Halim Sudah Boleh Makan, Semangat Semakin Kuat

Artikel berkaitan: ⁠Target Pukul Kaki, Akhyar Rashid Diserang Penyamun Di Terengganu

1. Kes samun Akhyar Rashid

22E0A3E4 Akhyar Rashid Fb 030524 2

Pada 2 Mei lalu kira-kira jam 8.30 malam, pemain pasukan Terengganu FC, Akhyar Rashid atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yat telah diserang berhampiran sebuah kondominium di Kuala Terengganu sehingga mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan lengan kiri.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, Akhyar telah tiba di kawasan kediamannya selepas selesai menjalani sesi latihan bola sepak di stadium Gong Badak, Kuala Nerus.

Akhyar kemudiannya didatangi suspek yang memakai mask dan menutup kepala dengan baju hoodie dan telah dipukul dengan menggunakan besi boleh laras.

Suspek kemudiannya telah mengambil beg duit Akhyar yang disimpan di dalam beg bimbit yang dipegangnya sebelum beredar dari lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan.

Akhyar kemudiannya telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan telah menerima enam jahitan iaitu empat jahitan di bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.

Ekoran dari kejadian ini, Akhyar telah kehilangan beg tangan berharga RM4,000, dompet bernilai RM800, kad pengenalan dan lesen memandu menjadikan jumlah kerugiannya sebanyak lebih RM4,800.

Pihak polis bagaimanapun percaya bahawa motif kejadian tersebut adalah samun dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Setakat artikel ini ditulis, masih tiada tangkapan dibuat berkenaan kes samun ini.

2. Faisal Halim disimbah asid

2678304 1

Beberapa hari selepas Akhyar diserang, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita Faisal Halim cedera disimbah asid pada Ahad lepas (5 Mei). Gambar Faisal selepas serangan tersebut telah tular di media sosial dan dapat dilihat baju yang dipakainya ketika hari kejadian juga turut cair.

Menurut kronologi kejadian yang dikongsikan oleh Harian Metro, Faisal bersama isteri dan seorang anaknya serta dua rakan keluar daripada pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Faisal kemudiannya telah pergi membuat bayaran parkir dan pergi berseorangan untuk mengambil kenderaannya yang terletak lebih kurang 30 meter daripada pusat beli belah.

Ketika Faisal buka pintu keretanya dan duduk di tempat pemandu, dua individu yang menunggang motosikal telah menghampiri kenderaannya dan menegur Faisal dengan mengatakan good luck sebelum menyimbah asid ke arahnya.

Faisal telah menjerit dan meraung kesakitan sebelum dua rakan dan isterinya datang untuk membantunya.

Ekoran ini, Faisal telah dibawa ke sebuah hospital swasta untuk dirawat dan telah pun menjalani dua pembedahan selepas dia disahkan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya dan berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, Isnin lalu, media melaporkan yang seorang lelaki berusia 20-an telah ditahan di Pandan Indah, Ampang kerana dipercayai terlibat dalam serangan ke atas Faisal.

Namun begitu, siasatan menemui bahawa lelaki tersebut tak ada kena-mengena dengan kes tersebut dan akan dibebaskan. Ini kerana, suspek sebenar telah memakai nombor pendaftaran motor palsu yang sama dengan nombor suspek pertama yang ditahan.

Pun begitu, suspek tersebut dijangka akan ditahan semula kerana positif dadah.

Semalam, pihak polis telah menahan seorang lagi suspek di Bandar Baru Bangi, Kajang dan telah ditahan reman selama lima hari sehingga hari Sabtu untuk membantu siasatan.

1893438

Selangor juga turut melancarkan kempen solidariti ‘Stand With Faisal Halim. Stop The Violence‘ dengan harapan untuk membanteras segala jenis keganasan dalam sukan bola sepak tanah air.

Manakala semalam, pihak polis mengatakan, setakat ini, tiada hubung kait antara kes Akhyar dan Faisal Halim yang disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah.

Tak cukup dengan itu, pihak polis kini sedang mengenal pasti pemilik akaun media sosial menggunakan nama ‘Muhammad Imran Suresh’ yang mendakwa memiliki maklumat berhubung kes serangan ke atas Faisal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika dihubungi berkata individu terbabit dicari bagi membantu siasatan kerana mendakwa mempunyai maklumat mengenai dalang perbuatan terhadap Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu

Oleh itu, kita mahu mengesan individu berkenaan untuk melihat maklumat apa yang dia ada dan boleh membantu siasatan polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan, boleh tampil dan bukan mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menjejaskan siasatan.”

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dua kejadian tersebut.

3. Kereta Safiq Rahim kena pecah

Safiqpcah1 1715101063

Malam semalam (7 Mei), bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim telah kongsikan di akaun Instagram peribadinya bahawa cermin keretanya telah dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim.

Disebabkan ini, Safiq telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu kerana risau dengan keselamatan dirinya serta turut memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan itu.

Menurut laporan polis yang dikongsikan oleh Safiq, kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang memandu dan tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang keretanya.

Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya.

“Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan.”

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

Allahu, apa nak jadi ni? Seram betul!

Sumber: Berita Harian, Awani, Malay Mail, Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.