Susulan insiden letupan paip gas bawah tanah yang berlaku di Putra Heights baru-baru ini, pihak polis memaklumkan bahawa keadaan fizikal paip gas yang terlibat tidak menunjukkan sebarang kerosakan mahupun gangguan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal dilakukan dengan menggali semula kawasan laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.
Setakat ini, nama syarikat masih belum didedahkan kerana siasatan masih berjalan.
Menurut beliau, paip kumbahan tersebut dipasang pada kedalaman kira-kira 2.1 meter dari permukaan jalan, manakala paip gas PETRONAS pula terletak lebih dalam iaitu pada kedalaman 5.6 meter.
Katanya, ini menjadikan jarak antara kedua-dua paip sekitar 1.6 meter.
“Daripada pemerhatian awal, keadaan fizikal paip gas tersebut tidak menunjukkan sebarang kerosakan yang ketara.
“Namun begitu, siasatan lanjut masih perlu diteruskan untuk memastikan sama ada kerja-kerja pengorekan itu ada menyumbang kepada insiden atau tidak,” katanya, lapor Berita Harian.
Artikel berkaitan: Paip Sinki Meletup Gara-gara Jiran Guna Asid, 2 Kanak-kanak Cedera
Artikel berkaitan: Tular Jalan Mendap Di KL Cuma Baiki Paip Bocor, Bukan Lubang Benam

Tambah beliau, kerja-kerja menggali kawasan sekitar masih diteruskan menggunakan beberapa jentera seperti ekskavator dan bulldozer bagi membuka sepenuhnya laluan paip dan meneliti keseluruhan sistem yang terlibat.
Insiden letupan yang berlaku pada Selasa lalu itu menyebabkan berlakunya kebakaran besar di laluan berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menuju ke Putra Heights.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, kebakaran berkenaan berpunca daripada paip gas LPG bawah tanah di Jalan Putra Harmoni.
Letupan itu turut mencetuskan kebimbangan penduduk berhampiran selepas mereka mendakwa merasai bahang panas hingga ke kawasan kediaman walaupun berada agak jauh dari lokasi kejadian.
Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan dan sekiranya terdapat unsur kecuaian dalam kerja pengorekan atau pemasangan saluran paip di kawasan tersebut.