Perkenalan dalam talian adalah sesuatu yang menyeronokkan. Namun, kita harus sentiasa berhati-hati apabila menggunakan aplikasi seperti ini kerana akan sentiasa ada individu yang cuba untuk mengambil kesempatan.
Inilah yang berlaku kepada wanita-wanita berusia di antara 20 hingga 60 tahun yang telah ditipu oleh seorang lelaki kasanova 25 tahun yang memperdaya mereka demi wang. Menurut mStar, lelaki itu memburu mangsanya melalui aplikasi WeChat sejak beberapa tahun lalu. Sehingga hari ini, dia telah berjaya menipu enam orang wanita dan mendapat jumlah melebihi RM100,000!
Memperdaya mangsa melalui laman sosial, lelaki ini menjadikan wanita-wanita ini sebagai teman wanita dan mengajak mereka melakukan hubungan seks. Sewaktu melakukan hubungan, lelaki tersebut akan merakam gambar bogel mangsa, lapor Sinar Harian. Lelaki itu kemudiannya akan menggunakan gambar bogel tersebut untuk mengugut mangsa menurut kemahuannya.
Seorang mangsa bernama Mei memberitahu pihak polis bahawa dia mula berkawan dengan lelaki itu sejak tahun 2014 selepas mengenalinya melalui aplikasi WeChat. Mereka hanya kawan biasa pada awalnya dan pernah keluar minum bersama beberapa kali sebelum menjadi kekasih.
“Lepas beberapa bulan bercinta, lelaki itu minta bantu belikan kereta guna nama saya dan dia menjadi penjamin. Disebabkan sayang, saya turuti kemahuannya dan beli sebuah kereta jenis Perodua Myvi.”
“Tidak lama lepas itu, kereta tersebut bermasalah dan dia minta saya belikan sebuah kereta baharu, sekali lagi saya belikan sebuah kereta guna nama saya tapi kali ini jenis Honda City,” katanya yang memberitahu bahawa lelaki itu berjanji untuk membayar ansuran bank setiap bulan.
Tidak berapa lama kemudian, Mei memutuskan hubungan kerana mendakwa lelaki itu curang terhadapnya. Namun, lelaki tersebut tidak mahu melepaskan Mei dengan mudah dan mengugut Mei untuk membayar kereta menggunakan gambar bogel yang diambil.
“Saya kini dibelenggu hutang dan nama saya sudah disenarai hitam kerana dia tidak membayar ansuran bulanan kereta.”
Seorang lagi mangsa bernama Win mendedahkan bahawa dia bernasib baik kerana sempat memutuskan hubungan dengan lelaki itu sebelum sempat dia melakukan perkara yang lebih teruk. Tangan Win sebelum ini pernah dilukakan oleh lelaki kasanova itu kerana dia enggan menuruti kemahuannya.
Wanita-wanita ini menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati menggunakan laman sosial kerana kita tidak tahu apa motif orang yang cuba mendekati kita melalui platform-platform seperti ini. Tidak kira wanita atau lelaki, sentiasa berhati-hati menggunakan laman sosial!
Baca: Wanita Kongsi Kisah Ditipu Hampir RM20,000 Dengan Lelaki Scammer Menyamar Jadi Askar