Seorang lelaki yang memandu sebuah Range Rover secara berbahaya dengan tayar belakang pecah dan hancur kini telah ditahan polis.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa, pihaknya menerima maklumat selepas video berdurasi satu minit mengenai kejadian itu tular semalam.

Video berkenaan memaparkan pemandu tersebut terus memandu di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke Taman Naga Emas walaupun tayar belakang kenderaan itu sudah rosak teruk.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar 8 pagi, 22 November 2025, apabila SUV mewah itu dikesan bergerak dengan tayar belakang kanan hancur sepenuhnya sehingga tinggal rim.
Aksi berbahaya itu dirakam seorang penunggang motosikal yang mengekori kenderaan berkenaan sebelum ia berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuchai Maju.
Artikel berkaitan: Dilanggar Pemandu Mabuk, Wanita Meninggal Dunia Lepas 7 Hari Bertarung Nyawa Di Hospital
Artikel berkaitan: SUV Bawa R*kok Seludup Pandu Lawan Arus, Korbankan 3 Nyawa
Difahamkan, pemandu berusia 32 tahun itu hadir sendiri ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi, 23 November 2025.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut, termasuk ujian saringan air kencing dan pemeriksaan Evidential Breath Analyzer (EBA) bagi menentukan sama ada pemandu tersebut berada di bawah pengaruh bahan terlarang atau tidak.
Menurut polis, lelaki itu mendakwa tayar keretanya pecah akibat terlanggar lubang dan kerana rumahnya “tidak jauh”, dia memilih untuk terus memandu pulang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
