Baru-baru ini, pelajar sekolah menengah di Korea Selatan telah menjalani peperiksaan yang paling penting di dalam kehidupan mereka iaitu Collage Scholastic Ability Test (CSAT) atau dikenali sebagai Suneung dalam bahasa Korea.
Peperiksaan tersebut boleh disamakan seperti peperiksaan SPM jika di Malaysia dan ia amatlah penting kerana ia akan menentukan universiti mana yang boleh dimasuki oleh pelajar-pelajar Korea sekali gus menentukan masa hadapan mereka.
Ini kerana kita sudah sedia maklum bahawa persaingan untuk memasuki universiti yang hebat di Korea sangatlah sengit.
Oleh itu, pihak kerajaan negara tersebut telah mengambil langkah-langkah yang ekstrem untuk mengelakkan gangguan kepada para pelajar mereka yang mengambil peperiksaan itu.
Untuk pengetahuan anda, peperiksaan CSAT Korea Selatan ini hanya mengambil masa sehari sahaja dalam masa setahun sekali di mana calon-calon akan mulakan peperiksaan pada waktu pagi dan akan siap pada lewat petang, bermula jam 8.40 pagi sehingga 5.40 petang.
Ini bermakna peperiksaan untuk semua subjek yang diambil oleh pelajar (bergantung kepada aliran yang diambil oleh calon) berlangsung dalam hari yang sama, boleh dikatakan tanpa henti.
Menurut laporan The Independent, untuk sesetengah calon yang mengambil subjek tertentu pula, peperiksaan boleh tamat selewatnya jam 9 malam.

Artikel Berkaitan: Ramai Tak Faham Sistem UPU, Kenali Beza Aliran Asasi, Matriks dan STPM
Artikel Berkaitan: “Henti main isu kaum, fokus selamatkan UM daripada penswastaan” — Liga Mahasiswa UM
Untuk tahun ini, seramai lebih 500,000 calon mengambil peperiksaan ini.
Difahamkan juga, ketika hari peperiksaan, kerajaan negara itu akan mengarahkan sekitar 10,475 anggota polis dan 2,,238 kereta polis di seluruh negara untuk menjaga kelancaran trafik agar setiap calon dapat sampai ke pusat peperiksaan tepat waktu dan juga menyediakan perkhidmatan escort kecemasan untuk calon yang terlambat sampai ke pusat peperiksaan.
Boleh tonton video ini untuk lebih faham mengenai peperiksaan CSAT di Korea ini.
Selain itu, banyak syarikat dan perniagaan juga akan mengubah waktu bekerja pekerja dan staf mereka untuk mengelakkan golongan yang bekerja dari menyebabkan jalan raya sesak pada waktu pagi.
Bukan itu sahaja, ketika ujian mendengar Bahasa Inggeris, semua penerbangan tidak dibenarkan untuk berlepas atau mendarat di lapangan terbang selama 35 minit untuk mengelakkan gangguan ketika ujian sekali gus memberi peluang kepada setiap calon untuk mendengar audio ujian dengan jelas tanpa gangguan.

Sumber: The Independent
