Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 telah dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, 6 Oktober 2025, setelah mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Laporan ini meliputi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 dan aktiviti Kementerian/Jabatan/Syarikat Kerajaan Persekutuan, serta Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri.
Ketua Audit Negara (KAN), Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi , telah memberikan Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) dengan Perenggan Hal-hal Lain (Other Matters) bagi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2024.
Secara keseluruhan, prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2024 telah bertambah baik berbanding tahun sebelumnya. Defisit telah menunjukkan penurunan sebanyak RM12.224 bilion kepada RM79.166 bilion, berbanding RM91.390 bilion pada tahun 2023.
Selain itu, nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga berkurang kepada 4.1%, yang mana lebih baik daripada sasaran Belanjawan 2024 (4.3%) dan penurunan berbanding 5.0% pada tahun 2023.
Pencapaian ini meletakkan asas yang kukuh untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah 3%.
Walaupun prestasi kewangan menunjukkan kemajuan, LKAN 3/2025 turut mendedahkan isu kelewatan ketara dalam Projek Pangkalan Operasi Hadapan Di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.
Projek yang sepatutnya siap pada 16 November 2024 ini masih belum disiapkan sehingga bulan Julai 2025, walaupun telah dirancang sejak tahun 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua RMKe-11.
Antara isu utama yang dikenal pasti adalah kelewatan pembinaan Bangunan Penempatan Semula (BPS), bangunan utama selain BPS masih belum siap, dan pembinaan jeti yang masih belum dimulakan.
Audit Diperluas Melalui Sistem e-SelfAudit
Bermula tahun 2025, Jabatan Audit Negara (JAN) telah memperluaskan skop pengauditan mereka terhadap 1,856 badan lain termasuk syarikat kerajaan melalui Sistem e-SelfAudit. Pengauditan e-SelfAudit mengadaptasi penggunaan pendigitalan dan teknologi terkini untuk membolehkan kesemua syarikat tersebut diaudit setiap tahun.
Tiga elemen utama yang diaudit ialah:
- Pencapaian mandat dan objektif penubuhan.
- Pematuhan aspek tatakelola.
- Prestasi kewangan.
Sebanyak 13 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 telah diaudit, dengan jenis Sijil Ketua Audit Negara adalah seperti berikut:
- Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion): Empat negeri, iaitu Melaka, Pahang, Pulau Pinang, dan Terengganu.
- Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain (Other Matters): Sembilan negeri, iaitu Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor.