in

Lafaz Cerai Sebab Pertaruhan Bola Sepak, Dr Zulkifli Sahkan Talak Boleh Jatuh Walaupun Niat Gurau!

Syaz Ft 2026 07 21T115051.867

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Masyarakat terutamanya golongan suami diingatkan agar tidak menjadikan isu rumah tangga serta lafaz talak sebagai bahan gurauan atau pertaruhan, khususnya ketika menyaksikan perlawanan sukan.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa lafaz talak yang digantungkan dengan sesuatu syarat (ta’liq) tetap mempunyai kesan hukum di sisi syarak sekiranya syarat berkenaan berlaku.


Artikel berkaitan: Dr Zulkifli Perjelas Tindakan Orang Islam Memboikot, Elak Berlaku Kezaliman Pada Sasaran Yang Salah

Artikel berkaitan: Isu Wanita Cari Bakal Suami Tak ‘Homophobic’, Dr Zul Beri Penjelasan Dari Sudut Agama

“Kalau Argentina Kalah, Aku Ceraikan Isteri…”

Menerusi hantaran di laman media sosial beliau, Dr. Zulkifli berkongsi satu situasi membabitkan seorang suami yang melafazkan cerai talak tiga ke atas isterinya seandainya pasukan pilihan beliau tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

 

View on Threads

 

Lelaki berkenaan dilapor melafazkan kenyataan itu dalam suasana gurauan bersama rakan-rakan kerana terlalu yakin dengan kemenangan pasukan tersebut. Walau bagaimanapun, keputusan perlawanan tidak memihak kepada pasukannya, sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung status perkahwinannya.

Pandangan Jumhur Ulama

Mengulas lanjut berhubung isu berkenaan, Dr. Zulkifli menjelaskan bahawa majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i, dan Hanbali berpendapat bahawa talak yang digantungkan dengan syarat akan jatuh sebaik sahaja syarat tersebut dipenuhi.

Beliau turut memetik pandangan tokoh ulama Mazhab Syafi’i seperti Imam Abu Syuja’ dan Imam al-Nawawi yang mengesahkan tiada perselisihan pandangan (khilaf) bahawa talak tetap berlaku apabila syarat yang ditetapkan itu benar-benar wujud.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan hadis Rasulullah SAW yang menegaskan bahawa terdapat tiga perkara yang tidak boleh dijadikan bahan gurauan:

“Tiga perkara yang seriusnya dianggap serius dan gurauannya juga dianggap serius: nikah, talak, dan rujuk.” – (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, dan Ibn Majah)

Nasihat Kepada Pasangan Terjejas

Sehubungan dengan itu, Dr. Zulkifli menasihatkan mana-mana pasangan suami isteri yang berdepan dengan situasi sedemikian agar tidak membuat andaian sendiri. Sebaliknya, mereka perlu segera merujuk perkara berkenaan kepada Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama Islam yang berdekatan bagi mendapatkan pengesahan serta penyelesaian mengikut undang-undang dan hukum syarak.

Sumber: Threads

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.