Sekarang ini, negara kita sedang gempar dengan kes tembakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 baru-baru ini. Akibat dari kejadian ini, seorang individu yang bekerja sebagai pengawal peribadi tercedera dan terpaksa ditidurkan.
Selepas melakukan pencarian sejak Ahad lalu, suspek yang turut dikenali sebagai Hafizul Hawari telah berjaya diberkas oleh pihak polis di Kota Bharu, Kelantan.
Artikel berkaitan: Kes Tembakan KLIA: Cabut Lari Ke Kelantan, Polis Dakwa Suspek Nak Lari Ke Makkah Melalui Thailand
Artikel berkaitan: [TERKINI] Suspek Tembakan Di KLIA Ditahan Di Kota Bharu
Berikut merupakan kronologi kes tembakan yang berlaku ini:
- Satu video tular di media sosial menunjukkan situasi cemas yang berlaku di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 meminta orang ramai berhati-hati.
- Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kemudiannya mengesahkan bahawa kejadian yang berlaku pada jam 1.15 pagi melibatkan seorang lelaki tempatan dipercayai cuba untuk melepaskan tembakan ke arah seorang wanita yang juga isterinya.
- Dua das tembakan tersebut bagaimanapun telah mengenai orang lain sebelum suspek melarikan diri. Namun begitu, Hussein menafikan insiden tersebut mempunyai kaitan dengan isu pengganas, ekstremis mahu pun gangguan awam. Sebaliknya ia berlaku kerana perselisihan di antara suami dan isteri.
- Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Akta Senjata Api.
- Wanita yang terlibat, Farah Cie kemudiannya telah memuat naik satu hantaran di Facebook mengatakan bahawa mangsa yang terkena tembakan itu merupakan pengawal peribadinya.
- Pihak polis kemudiannya telah melancarkan operasi mengesan suspek yang dipercayai telah melarikan diri ke Utara.
- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran kepada suspek, Hafizul Harawi, 38, supaya memberi kerjasama dan menyerahkan diri di mana-mana balai polis.
- Pihak polis telah mengeluarkan arahan meminta semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen terdekat dan bersempadan dengan negara jiran gerakkan bagi mengesan suspek.
- Shuhaily mendedahkan bahawa suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau termasuk ugutan jenayah dan mencuri serta menyamar sebagai penjawat awam.
- Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian adalah disebabkan oleh masalah peribadi di antara suspek dan isterinya yang dipercayai sedang hamil peringkat awal.
- Mangsa yang ditembak pada jarak sekitar tiga ke empat meter telah ditidurkan sejurus keadaan kembali stabil dan pembedahan selanjutnya akan dijalankan. Beliau turut memaklumkan suspek dipercayai memperoleh pistol berkenaan secara haram.
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, senjata api berupa pistol semi automatik kaliber 9mm itu disyaki diperoleh dari negara jiran.
- Isteri pengawal peribadi berkenaan, Siti Noraida, 28, berkata beliau bergegas ke Hospital Cyberjaya sejurus selepas menerima maklumat berkenaan kejadian sekitar 2 pagi. Siti Noraida memaklumkan suaminya ditugaskan sebagai pengawal peribadi secara sambilan sebelum Ramadan lalu.
- Rakan sekerja mangsa, Mohd Affan Mohd Aris berkata Along tidak seharusnya bekerja semasa kejadian namun mengambil alih tugas rakan sekerja wanita yang mengambil cuti sempena Hari Raya Aidilfitri. Selain itu, Affan turut memberitahu rakannya itu sempat menghantar gambar lencana kerja pada 12.48 pagi menulis ‘bertugas’ pada malam itu di dalam grup WhatsApp syarikat sekuriti tempat mereka bertugas.
- Farah menerusi Facebook peguamnya menasihatkan agar memaklumkan tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan kes ini sementara waktu dan memaklumkan bahawa suspek sedang diburu dan meminta orang ramai merujuk kenyataan rasmi dari pihak polis.
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan semalam bahawa suspek berjaya ditahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, kira-kira jam 3 petang tadi.
- Sebentar tadi, suspek telah diberikan perintah reman bermula hari ini sehingga 22 April bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atasnya.
- Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. Turut dikenakan perintah reman bagi membantu siasatan Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 (memiliki kad pengenalan individu lain) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menggunakan nombor plat kenderaan palsu).
- Di mahkamah, suspek mengatakan yang dia memerlukan seramai tujuh orang peguam untuk mewakili dirinya.
- Shuhaily dalam sidang media mengatakan, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek disyaki mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand susulan penemuan sejumlah wang tunai dalam mata wang Riyal dan Baht yang dirampas bersama suspek.
- Hafizul diberkas polis semasa mengambil laporan kesihatan di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu. Dia dikatakan telah memandu menuju ke Kelantan selepas melepaskan tembakan dan menginap di sebuah hotel di Kota Bharu dengan mendaftarkan diri menggunakan kad pengenalan milik orang lain.
- Shuhaily turut mengatakan bahawa Hafizul akan dibawa pulang ke Selangor hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan secara terperinci.
- Isteri pengawal peribadi yang ditembak, Muhammad Nur Hadith Zaini memaklumkan bahawa suaminya telah dibawa ke bilik bedah Hospital Cyberjaya bagi menjalani proses pembedahan pada jam 11.30 pagi tadi.
Sumber: Sinar Plus, X