Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan sasaran untuk membuka 300 kelas prasekolah baharu menjelang tahun 2027 dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan bahawa pertambahan itu akan membawa kepada jumlah keseluruhan dijangka mencapai 1,040 kelas prasekolah baharu bagi tempoh 2023 hingga 2027.

Menurut beliau, langkah ini mencerminkan keutamaan Kerajaan MADANI dalam menyediakan akses pendidikan awal yang percuma dan saksama, sekali gus mempersiapkan kanak-kanak untuk memasuki Tahun Satu pada Kohort 6 Tahun.
Artikel berkaitan: RM13.8 Bilion Diperuntuk, 813 Projek Sekolah Daif Siap Setakat Jun 2026
Artikel berkaitan: Belanjawan 2027 Lebih Berhemat, KPM Jamin Pengambilan Guru Dan RMT Tidak Terjejas
Bagi mengukuhkan agenda ini, KPM turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang mengendalikan 10,536 tadika melibatkan 204,412 murid, serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menguruskan 1,781 Tabika Perpaduan dengan seramai 34,008 murid.
Gabungan ketiga-tiga agensi ini secara keseluruhannya mengoperasikan 22,808 bilik darjah prasekolah yang menampung 455,446 kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun di seluruh negara sehingga 31 Mei 2026.
Fadhlina turut menjelaskan KPM menggunakan dua kaedah utama untuk penambahan kelas iaitu:
- pembinaan kelas baharu di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun
- peluasan di sekolah sedia ada

Pemilihan lokasi dibuat secara teliti berdasarkan faktor:
- bilangan kanak-kanak yang layak
- permintaan setempat
- kapasiti kemudahan sedia ada
- jarak ke institusi pendidikan awal berhampiran
- kesesuian prasarana
- unjuran enrolmen dan pembangunan kawasan
Jawatankuasa khas yang membabitkan KPM, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Perpaduan Negara serta pelbagai pihak berkepentingan akan meneliti secara menyeluruh aspek dasar dan perundangan, perjawatan, kewangan, aset, prasarana, kurikulum serta pengoperasian sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Sumber: Buletin TV3
