Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Kempen Kitar Semula Kebangsaan 2026 bertemakan “Daripada Sisa Kepada Sumber” di WOW Plaza, LaLaport Bukit Bintang City Centre bagi memperkukuh pelaksanaan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (2025–2035).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kempen itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kadar pengalihan sisa daripada tapak pelupusan kepada 53% menjelang 2035.

Menurut beliau, sisa tidak lagi boleh dianggap sebagai bahan buangan semata-mata, sebaliknya sumber yang masih mempunyai nilai ekonomi dan boleh dimanfaatkan semula.
Artikel berkaitan: KPKT Perkukuh Pemantauan Projek Perumahan Sakit, Elak Pembeli Rumah Terus Terbeban
Artikel berkaitan: KPKT Semak Semula Sistem CCC, Fokus Kurangkan Birokrasi Dan Percepat Kelulusan

Dalam usaha memperkukuh amalan kitar semula, KPKT menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperhebatkan penguatkuasaan pengasingan sisa di punca secara berperingkat, khususnya di sektor komersial, industri dan institusi.
Sebelum ini, KPKT turut bersetuju mewajibkan penyediaan Fasiliti Pengitaran Semula di semua pusat beli-belah sebagai salah satu syarat permohonan dan pembaharuan lesen premis perniagaan di bawah PBT secara berperingkat.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran kiosk “Sort & Drop – Recycle the Cartons” hasil kerjasama Tetra Pak, KPT Recycle dan LaLaport Bukit Bintang City Centre bagi memudahkan orang ramai mengitar semula kotak minuman terpakai.
Sumber: KPKT
