Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan pelaksanaan bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) bagi membantu golongan pesawah di Semenanjung Malaysia.
Inisiatif ini melibatkan pemberian RM200 sehektar secara one-off sebagai langkah mengurangkan beban modal permulaan yang sering ditanggung sendiri oleh golongan tersebut sebelum ini.
Menurut kenyataan media KPKM, bantuan ini dijadualkan mula disalurkan secara berperingkat pada 19 Mei 2026. Fokus utama pelaksanaan adalah kepada pesawah yang berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bagi musim semasa, khususnya untuk musim 1/2026.

Secara keseluruhannya, pesawah akan menerima manfaat dalam dua peringkat:
- Bayaran Pendahuluan: RM200 sehektar disalurkan sebelum atau semasa kerja membajak bermula.
- Baki Insentif: RM100 sehektar akan dibayar selepas kerja pembajakan selesai dan mendapat pengesahan agensi berkaitan.
Walau bagaimanapun, kadar insentif bagi pesawah di Sabah dan Sarawak kekal pada kadar sedia ada memandangkan mereka masih menikmati subsidi diesel di negeri-negeri berkenaan.
Artikel berkaitan : Mat Sabu Jawab Dakwaan Bantuan Pesawah Lambat Bayar, Ini Penjelasannya
Artikel berkaitan : Dunia Agro+ Jambatan Produk Segar Tempatan ke Pasaran Luar Bandar & Bandar
Bagi memudahkan urusan, penyaluran bantuan akan dikreditkan terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar. Manakala bagi kes-kes tertentu, kemudahan pembayaran tunai turut disediakan melalui pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Langkah ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap keluhan komuniti lapangan selain bertujuan memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara melalui sokongan berterusan kepada sektor penanaman padi.
Sumber : KPKM
