Internet ni dah jadi seperti keperluan dalam kehidupan kita, kalau nak pergi mana-mana pun kalau boleh memang nak pastikan akses internet ada. Selain memudahkan urusan kita, ia juga membantu kita untuk terus berhubung dengan orang kesayangan.
Tapi dalam kemudahan yang diberikan, ramai yang tak sedar tentang kesan negatif internet terhadap otak kita. Rupanya, perlahan-lahan teknologi ini telah merosakkan otak kita. Mungkin sebab ni zaman sekarang ramai yang hadapi masalah tekanan mental kot?
Online pun dah boleh buat kita sangat sangat tertekan
Dikatakan, selama internet ini wujud dan boleh digunakan oleh orang ramai, berada di dalam talian sahaja dikatakan boleh membuatkan korang sangat-sangat tertekan secara klinikal. Ia bukanlah satu kenyataan tanpa bukti tau!
Banyak tinjauan yang dibuat tentang pengguna internet dari yang paling jarang sehingga yang ketagih menggunakan internet menunjukkan korelasi positif di antara berapa banyak masa dihabiskan untuk melayari internet dengan perasaan sedih, terasing dan disingkirkan.
Malam beberapa pengkritik mengatakan penggunaan internet yang banyak akan meningkatkan risiko seseorang untuk tertekan sebanyak dua kali ganda, namun ada juga yang mengatakan bahawa internet bukan pencetus kemurungan namun tempat perlindungan dari rasa tertekan.
Artikel berkaitan: Idea ‘Wireless’ Dah Wujud Sejak Awal Abad Ke-20? Ketahui Sejarah Disebalik Kewujudan Internet
Bersosial di dalam talian menjadikan seseorang itu berfikiran sempit
Apabila bercakap secara depan-depan, interaksi korang akan ditemani dengan beberapa isyarat fizikal seperti emosi yang boleh menyebabkan apa yang korang cuba sampaikan dapat diterima dengan tepat. Tapi, bila bercakap dengan seseorang di dalam talian, sukar untuk korang sampaikan sesuatu dengan jelas tanpa penjelasan yang lebih.
Bila korang tengah bercakap dengan seseorang di dalam talian, mood korang pada ketika itu turut mempengaruhi pembacaan korang. Contohnya, korang tengah penat balik daripada kerja dan nak beli makanan, lepastu korang tanya pasangan korang sama ada dorang nak makan juga atau tak. Bila pasangan korang balas “tak nak”, ia boleh diinterpretasikan sebagai layanan acuh tak acuh walaupun intonasi tersebut sebenarnya lebih mesra dari yang korang bayangkan.
Bila perkara seperti ini berlaku, lebih-lebih lagi ketika korang berkomunikasi di media sosial seperti di Facebook dan korang telah disalah tafsir oleh ramai orang, secara tak langsung korang akan rasa sangat-sangat tertekan.
Tak cukup dengan itu, bila korang sering berkomunikasi di dalam talian dan aktif di media sosial, korang lebih cenderung untuk memuat naik konten yang lebih diterima oleh orang ramai berbanding situasi sebenar yang berlaku dalam realiti kehidupan. Ini menjadikan korang lebih gemar untuk cuba puaskan hati orang-orang di media sosial berbanding mengekalkan hubungan dengan orang-orang disekeliling.
Google gantikan memori kita
Apabila korang belajar tentang sesuatu yang baru, maklumat tersebut akan disimpan di dalam otak melalui deria, motor dan aktiviti abstrak yang berlaku ketika maklumat tersebut diterima. Disebabkan ini, bila korang cuba untuk ingat sesuatu memori, korang akan hidupkan semula maklumat yang disimpan melalui deria korang.
Kemudian, bila maklumat yang korang simpan tu tak digunakan lama, otak korang akan buang memori tersebut secara perlahan-lahan bagi memberikan ruang untuk perkara baru.
Tapi zaman sekarang, bila korang nak tahu tentang sesuatu, korang hanya bergantung kepada Google dan maklumat yang diterima dalam beberapa saat itu tak menggunakan tenaga berbanding bila korang cuba untuk cari sesuatu maklumat di perpustakaan sepanjang hari dan otak kita sukakan tenaga.
Tak cukup dengan itu, otak kita juga tak ingat banyak fakta seperti ia ingat di mana untuk mencari fakta tersebut. Jadi, selagi korang ada Google, korang dah tak perlukan otak korang untuk bekerja dan menyimpan memori.
Internet buat kita ketagih
Disebabkan internet dah menjadi pengganti kepada otak kita, kita dah jarang menggunakan otak untuk berfikir dan menjadikan kita bergantung kepada internet dengan lebih banyak. Malah, pengguna internet tegar juga menunjukkan jirim putih di dalam beberapa bahagian dalam otak mereka telah mengecut.
Media sosial pula merupakan dadah digital yang membuatkan pengguna-penggunanya sentiasa mahu menggunakannya. Mana tidaknya, bila korang celik je mata, benda pertama yang korang cari mesti telefon. Lepastu, secara tak sedar, korang dah berjam-jam scroll media sosial tanpa mengetahui kenapa korang buat macam tu.
Kalau korang nak tahu, kesan dadah pun sama macam ni. Bila korang dah ketagih, korang memang asyik nak je ambil dadah berulang kali untuk puaskan ketagihan.
Artikel berkaitan: Lelaki Bakal Dipenjara Lepas Tersilap Potong Line Internet Satu Bandar Sebab Nak Kawal Screen Time Anak
Internet dah jadi sebahagian dari kehidupan
Walaupun korang rasa macam korang nak berhenti dari gunakan internet sebab tahu dengan keburukannya, ia adalah sesuatu yang mustahil. Ini kerana, zaman sekarang semua orang ada telefon pintar dan internet sama ada di rumah atau di tempat kerja.
Bukan tu je, banyak perkara pun dah mula ditukar ke dalam talian seperti media atau membeli barangan keperluan menjadikan internet secara tak langsung satu keperluan dalam hidup.
Jadi macam mana? Kita semua dah rosak dan tak boleh nak berpatah balik? Jawapannya hanya ada dekat diri korang. Teknologi baru sentiasa ada potensi yang berbahaya untuk kita tapi kita sebagai orang yang boleh berfikir, kita perlulah tahu mengawal diri. Seperti internet, korang boleh gunakan ia tapi janganlah sampai terlalu bergantung dan cuba untuk lebihkan masa dengan dunia realiti berbanding dengan dunia dalam talian.
Lagi satu, min nak cadangkan korang tengok satu dokumentari di Netflix yang bertajuk The Social Dilemma. Korang akan lebih faham macam mana korang boleh nak sangat guna internet dan media sosial ni. Bila dah tengok confirm korang takut sikit nak guna internet.
Semua yang kita buat perlulah bersederhana, itu benda penting yang kita kena ingat.
Sumber: ati