in

“Saya tak berhenti lari, saya dengar lebih 50 tembakan.” – Saksi Kongsi Detik Cemas Tembakan Rambang Di Masjid Christchurch

Collage 13

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pagi tadi seluruh dunia digemparkan dengan kejadian tembakan rambang yang berlaku ketika umat Islam berkumpul untuk solat jumaat di dua masjid di Christchurch New Zealand, Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood.


Nz Mosque Shooting 2

Kejadian tersebut sehingga kini telah mengorbankan hampir 50 orang dengan salah seorang mangsa tercedera merupakan rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan terbaru, polis New Zealand telah berjaya menahan seorang suspek lelaki lewat 20-an yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan dan akan dihadapkan ke mahkamah pada esok hari.

Sementara itu, beberapa saksi tampil menceritakan detik cemas yang mereka lalui ketika kejadian tembakan rambang yang berlaku di Masjid Al-Noor.

Menurut The Star, salah seorang saksi yang merupakan seorang lelaki berkerusi roda memaklumkan, keadaan masjid sebelum kejadian sangat tenang berikutan jemaah sedang bersedia untuk menunaikan solat jumaat. Namun tidak lama kemudian…

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan yang bermula di bilik utama. Ketika itu saya berada di bilik bahagian tepi, saya tak nampak siapa yang tembak, saya hanya nampak orang mula lari ke arah saya.

“Saya cuba untuk keluar dan tolak diri saya ke belakang masjid untuk pergi ke kereta. Dari situ saya dengar tembakan berterusan selama lebih kurang enam minit.

“Saya dengar ada orang yang menjerit, ada yang menangis. Saya nampak beberapa orang mati dan beberapa orang berlari.” 

Lelaki tersebut juga memaklumkan, sehingga kini dia masih belum menemui isterinya yang turut berada di masjid sewaktu kejadian.

1552637655026

Dalam pada itu, seorang lagi saksi Len Peneha yang tinggal bersebelahan dengan masjid tersebut berkata pada pukul 1.45 pm dia terlihat seorang lelaki berpakaian hitam masuk ke dalam masjid sebelum kedengaran bunyi beberapa das tembakan dan kelihatan ramai orang lari bertempiaran keluar dari masjid.

Len berkata, tak lama kemudian suspek berlari keluar dari masjid dan menjatuhkan senapangnya di atas jalan sebelum lari dari lokasi kejadian.

“Saya lihat ramai orang mati di merata-rata tempat. Tiga di lorong, di pintu masuk masjid dan di dalam masjid.

“Memang tak masuk akal. Saya tak faham macam mana orang boleh buat perkara seperti ini pada orang lain.”

1552623489224

Seorang lagi remaja pula berkata ketika kejadian dia berada di dalam masjid tersebut sebelum mendengar bunyi tembakan dan kemudiannya bertindak untuk lari seberapa pantas yang boleh ke arah Hangley Park berhadapan masjid.

“Saya tak berhenti. Bunyi tembakan kedengaran seperti pop,pop,pop,pop… saya dengar  lebih dari 50 kali.”

1552627271 300 Sonny Bill Williams Is A Tribute To The Muslims Who Were Killed In The Massacre In The Christchurch Mosque

Manakala saksi lain, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Nour berkata dia berada di barisan saf hadapan ketika tembakan ini berlaku.

Dia kemudiannya merangkak di atas lantai masjid dan menuju ke arah tingkap yang telah dipecahkan oleh orang lain sebelum melompat keluar.

“Pada awalnya dia tembak orang di luar, kemudian dia terus pergi ke hadapan.

“Saya dengar dia isi pelurunya tiga kali dan mula tembak pada semua arah.

“Saya lihat orang mati di hadapan saya. Saya sedang merangkak untuk cuba keluar dari situ.”

Https Resources.stuff .Co .Nz Content Dam Images 1 U 9 X Z 2 Image.related.stufflandscapesixteenbynine.1420X800.1U9Udu.png 1552619513015

Seorang lagi saksi Mohan Ibrahim, turut menyelamatkan diri apabila dia mendengar bunyi tembakan secara tiba-tiba.

“Pada awalnya saya ingat ia adalah kejutan elektrik tapi tiba-tiba semua orang mula berlari. Ramai yang mati dan cedera.

“Saya ada kawan-kawan di dalam masjid. Saya dah cuba hubungi mereka tapi masih ramai yang saya belum tahu keadaannya. Saya risaukan keselamatan mereka.”

90

Kejadian sama turut dikongsikan oleh Syed Ahmad yang pada ketika itu berada di Masjid Linwood.

Syed berkata, dia melihat seorang lelaki memakai topi keledar berwarna hitam dengan baju bercorak askar membawa rifle dengan tulisan putih “indiscriminate shooting” di kawasan luar masjid.

Katanya, lelaki itu kemudiannya menembak beberapa orang tua yang sedang duduk di atas kerusi semasa bersolat. Allahu, tergamaknya dia!

“Mereka semua telah ditembak.”

Syed berkata dianggarkan sekurang-kurangnya lapan orang telah ditembak termasuk tiga wanita dan dua rakannya dengan salah seorang dari mereka ditembak di kepala.

Ujarnya, dia menyelamatkan dirinya dengan merangkak ke arah bilik stor sebelum keluar dari kawasan masjid berkenaan.

Semoga orang lain yang masih belum ditemui berada dalam keadaan selamat dan ‘pengganas’ tersebut berjaya ditangkap.

 

Baca: “Ayah pergi solat, sampai sekarang tak balik” – Rahimi Ahmad, Seorang Lagi Rakyat Malaysia Hilang Dalam Insiden Tembakan di Christchurch

Screenshot 2019 03 15 At 4.46.34 Pm

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.