Pelajar tingkatan 4 yang maut dalam satu serangan di sebuah sekolah di Bandar Utama pada tahun lalu dimaklumkan mengalami sekurang-kurangnya 180 kesan tikaman dan luka hirisan pada bahagian lengan.
Pakar patologi forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Dr Koo Zhao Peng selaku saksi pertama dalam perbicaraan kes bunuh yang melibatkan suspek iaitu seorang remaja lelaki usia 15 tahun tampil memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan mengatakan bahawa mangsa alami kecederaan pada arteri karotid dan vena jugular, iaitu saluran darah utama.
Artikel berkaitan : Kes T*kam Pelajar Di Bandar Utama, Ini Kronologi Penuh Kejadian Tragis Tersebut
Artikel berkaitan : ;”Anak seindah itu, namun ditimpa nasib yang kejam” – Ibu Mangsa Kes T*kam Bandar Utama
Mengikut hasil penemuannya serta laporan bedah siasat setebal 23 muka surat, Zhao Peng memberikan kesimpulan bahawa punca kematian mangsa adalah akibat ‘pelbagai kesan tikaman’ di leher dan dada.
Beliau turut memberitahu bahawa pada 14 Oktober tahun lalu, pegawai penyiasat kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Superintendan Ahmad Zarrin Abd Rashid meminta beliau untuk menjalankan siasatan.
Dalam pada itu, ibu mangsa iaitu Wong Lee Ping, hadir bagi membuat pengecaman rasmi terhadap mayat anak perempuannya.
Zhao turut berkata bahawa beliau ada menjalankan pemeriksaan luaran dan dalaman, mengambil sampel darah serta spesimen lain untuk analisis makmal dan pemeriksaan histo patologi sebagai sebahagian daripada proses bedah siasat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Abdul Majid telah bermula semalam dan dijadualkan berlangsung selama lapan hari. Remaja lelaki itu, yang identitinya tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya kerana masih di bawah umur, dibawa ke mahkamah dari Pusat Koreksional Puncak Alam, sebuah pusat tahanan juvana.

Prosiding tersebut dijalankan secara tertutup dan pihak media sudah diberi taklimat tentang perjalanan prosiding semalam oleh pihak peguam bela iaitu Kitson Foong, yang hadir bersama Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.
Kata Foong, prosiding hanya bermula jam 11 pagi selepas berlakunya kelewatan kerana pihak penjara gagal membawa tertuduh ke mahkamah walaupun arahan untuk melakukan perkara sedemikian telah dikeluarkan lebih awal.
Sepanjang perbicaraan, 3 bilah pisau telah dikemukakan sebagai barang kes, dengan Foong menyatakan hanya satu daripadanya sepadan dengan kecederaan yang ditemukan pada tubuh mangsa.
Beliau turut berkata, remaja itu kekal tenang sepanjang prosiding dan kelihatan lega selepas melihat ahli keluarganya hadir di mahkamah.

Tambah beliau, ibu kepada mangsa dimaklumkan mengenai kejadian itu pada hari ianya berlaku, tetapi tidak mengetahui tahap kecederaan yang anaknya alami sehinggalah ibu mangsa sampai ke sekolah.
“Beliau hanya menyedari betapa seriusnya keadaan apabila melihat anaknya di atas pengusung sebelum dibawa ke hospital.”
Jelas beliau lagi, ibu mangsa telah Ahmad Zarrin untuk membuat pengecaman mayat di Jabatan Forensik hospital.
“Beliau dimaklumkan oleh Dr Koo (Zhao Peng) pada tengah malam mengenai punca kematian anaknya selepas bedah siasat selesai dijalankan.”
Bekas pengetua sekolah tersebut, Hafizi Shafi’in, merupakan saksi ketiga yang dipanggil memberi keterangan hari ini.
Foong berkata, Hafizi memberi keterangan bahawa beliau terserempak dengan remaja tersebut di kawasan tandas selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Malah, katanya, pihak pembelaan turut mencabar keterangan Hafizi dengan berhujah bahawa remaja itu tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan perkataan tersebut mungkin disebut oleh individu lain ketika keadaan huru-hara.
“Saya mencadangkan kepada beliau bahawa beliau mungkin terdengar orang lain menyebut perkataan itu dalam suasana panik dan kelam-kabut, lalu tersalah anggap bahawa ia diucapkan oleh remaja tersebut.”
“Kami berpendapat perkara itu tidak berlaku, namun terpulang kepada mahkamah untuk membuat penentuan.”
Sumber: Harian Metro
