Memilih nama untuk diberikan kepada bayi yang baru lahir sememangnya bukan tugas yang mudah. Selain mahu memberikan nama yang membawa maksud yang baik, ada juga ibu bapa yang mempertimbangkan mahu menggunakan nama saudara-mara sebagai nama anak mereka.
Pun begitu, bagi seorang wanita dari Stockton-on-Tees, Durham, England ni pula, dia memilih untuk menukar namanya selepas terinspirasi daripada satu siri Netflix. Malah, keputusan menukar nama itu juga dibuat kerana wanita ini menganggap nama lamanya sudah tak membawa kebahagiaan lagi.
Marie Naisbitt kepada Marie Unicorn Sparkles
Segalanya bermula pada tahun 2019 apabila Marie Naisbitt menyedari dia tidak menggemari rupanya sekarang lalu memilih untuk mewarnakan rambutnya dengan warna-warna yang terang persis pelangi.
Pun begitu, Marie yang juga merupakan ibu kepada dua anak itu mula mengisi borang menukar nama selepas sering digelar Unicorn oleh orang ramai ketika dia sedang bekerja sebagai setiausaha perubatan.
Sememangnya mempunyai minat yang mendalam kepada apa-apa berkaitan Unicorn, Marie Naisbitt akhirnya secara rasmi menukar namanya kepada Marie Unicorn Sparkles.
Suami ingat dia ada krisis pertengahan umur
Sumber melaporkan, ketika kali pertama menukar namanya kepada Marie Unicorn Sparkles, suaminya, Patrick Naisbitt, pada mulanya menganggap isterinya mungkin sedang mengalami krisis pertengahan umur. Jadi, lelaki yang bekerja sebagai tukang paip itu hanya menyokong isterinya asalkan wanita itu gembira.
Bagaimanapun, Marie Unicorn masih kekal menggunakan nama barunya itu sehingga kini. Malah, dia juga tidak lagi menggunakan nama akhir suaminya, Naisbitt dan sebaliknya, menggunakan nama akhir Sparkles. Kalau korang nak tahu, dua anak pasangan ini juga dah mula gunakan nama akhir Sparkles jugak!
Lesen, kad pengenalan semuanya sudah bertukar nama
Jelas Marie Unicorn, dia mengeluarkan belanja sebanyak RM142.26 untuk memohon borang menukar namanya. Sebaik sahaja permohonannya diterima, Marie Unicorn segera menelefon semua syarikat utiliti untuk memberitahu mereka mengenai penukaran namanya dari Marie Naisbitt kepada Marie Unicorn Sparkles.
Kata Marie Unicorn lagi, segala proses seperti menukar nama di lesen memandu, kad bank, maklumat kewangan dan kad pengenalan tempat kerja teramatlah mudah. Pun begitu, lain pula yang berlaku semasa dia hendak menukar nama insurans kereta.
“Suami saya terpaksa habiskan masa 20 minit bergaduh dengan ejen insurans mengenai penukaran nama saya. Mereka ingat kami saja berguran dan ini hanyalah prank. Tapi segalanya selesai selepas syarikat insurans memeriksa lesen memandu saya,” katanya.
Sumber: Mirror
Baca: Rakyat Thai Gembira Bangkok Ditukar Nama, Ini Kisah Asal Nama ‘Krung Thep Maha Nakhon’