Baru-baru ini, tular satu dakwaan mengejutkan di media sosial yang mendakwa Hospital Segamat bakal ditutup sepenuhnya menjelang 1 Julai ini. Isu tersebut telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat, terutamanya penduduk setempat yang bergantung kepada perkhidmatan hospital berkenaan.
Menerusi tangkapan layar hantaran seorang pengguna media sosial yang tular, individu tersebut mendakwa hospital berkenaan tidak lagi menerima rujukan daripada mana-mana klinik bermula bulan Jun. Malah, dia turut mendakwa kononnya sistem kesihatan negara sedang lumpuh akibat kekurangan kakitangan dan doktor.
Artikel berkaitan: Selepas 2 Minggu Dirawat Di Hospital, Prebet Yang Dipukul Koperal Meninggal Dunia
Artikel berkaitan: Tapak Pembinaan Sekolah Ditutup Sementara Susulan Kebocoran Gas

“Hospital Segamat bakal ditutup 1 Julai ini! KKM sedang lumpuh. Hospital Segamat tidak akan terima refferal dari mana-mana klinik bermula bulan ini (bulan jun), dan dikatakan tidak akan beroperasi pada Julai!
Ia disebabkan tidak cukup staf dan tenaga kerja,” tulis individu berkenaan.
Bagaimanapun, selang beberapa jam kemudian, individu yang sama membuat pembetulan dan menyatakan bahawa bukan seluruh hospital ditutup, sebaliknya hanya melibatkan klinik pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) sahaja bermula 1 Julai.

Enggan membiarkan spekulasi terus melarat, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) segera mengeluarkan kenyataan media rasmi bagi menjelaskan perkara sebenar.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor menegaskan bahawa Hospital Segamat masih beroperasi seperti biasa dan TIADA penutupan hospital seperti yang didakwa.
Menurut kenyataan itu lagi, isu ini sebenarnya berpunca daripada salah faham mengenai surat penangguhan rujukan kes-kes O&G dari daerah Rompin dan Gemas yang bertarikh 3 Jun 2026.
Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kekal berkesan, pihak JKNJ menjelaskan bahawa mereka kini sedang meneliti dan memuktamadkan pengaturan perkhidmatan di Jabatan O&G Hospital Segamat.
“JKNJ komited untuk memastikan sebarang langkah penyusunan semula perkhidmatan dan pengoptimuman sumber manusia dilaksanakan secara terancang bagi menjamin kelangsungan operasi serta kesinambungan rawatan dan perkhidmatan kepada pesakit,” jelas kenyataan itu lagi.
Pihak berkuasa turut meminta orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Status terkini dan perancangan lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak JKNJ dalam masa terdekat.
